Pelakon dan pengacara Cheryl Samad sanggup memperlahankan karier seninya bagi menjaga dua anak perempuannya kerana ‘paranoid’ terhadap pembantu rumah. Cheryl, 37, berkata, akibat pelbagai kes buruk membabitkan pembantu rumah di negara ini membuatkan dia tidak sanggup meninggalkan dua anaknya iaitu Stella, 3, dan Kate yang kini berusia sembilan bulan kepada pembantu rumah.
“Ramai kawan-kawan saya antara yang menjadi mangsa. Biarlah saya jaga sendiri anak-anak saya walaupun terpaksa mengehadkan untuk menerima tawaran dalam bidang hiburan," katanya kepada Harian Metro. Cheryl berkata, sejak memiliki cahaya mata, dia tidak pernah mengambil pembantu rumah dan kadang-kadang meminta bantuan ibunya untuk menjaga anak-anak. Dalam pada itu, Cheryl yang juga bekas pengacara program Muzik Muzik berkata, dia enggan lagi mengacara program itu walaupun ramai merinduinya. "Saya tidak melihat program sebegitu sesuai untuk diri saya lagi. Lagipun, saya memang mahu benda baru yang lebih mencabar dan belum pernah dilakukan. “Lagipun sekarang saya sangat bahagia menjalani kehidupan sebagai ibu dan berkeluarga,” katanya.
|