|
Edited by spiderman80 at 16-3-2017 09:59 PM
PUTRAJAYA 16 Mac - Mahkamah Persekutuan sebentar tadi memutuskan bekas peguam, N. Pathmanabhan dan dua bekas pekerja ladangnya kekal menjalani hukuman gantung kerana membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di sebuah ladang di Banting, Selangor, hampir tujuh tahun lalu.
Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sebulat suara bagaimanapun melepas dan membebaskan perayu ketiga, R. Matan daripada sabitan dan hukuman mati kerana membunuh keempat-empatnya.
Keputusan itu turut dicapai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Mahkamah tertinggi negara selesai mendengar penghujahan panjang lebar kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan yang berlangsung selama enam hari bermula 31 Oktober tahun lalu dan berakhir pada 8 November tahun lalu.
Pathmanabhan, 47, dan tiga bekas pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 25, dan R. Kathavarayan, 37, dan Matan merayu terhadap sabitan dan hukuman gantung kerana membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013 melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting, Selangor antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010. Mahkamah Rayuan pula mengekalkan keputusan itu pada 4 Disember 2015.
Pihak pembelaan terdiri daripada peguam Manjeet Singh Dhillon, Amer Hamzah Arshad, Datuk Gurbachan Singh, Hisyam Teh Poh Teik serta T. Vijayandran.
Pihak pendakwaan pula diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani, Saiful Edris Zainuddin, Hamdan Hamzah, Norinna Bahadun dan Jasmee Hameeza Jaafar. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/ ... 57832#ixzz4bSmucCwZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|