|
Susulan pada 19 Januari dan 25 Mac lalu, Polis Johor menerima 2 laporan masing-masing mengenai kenyataan jelik terhadap Sultan Johor dan institusi Diraja Johor serta 1 akaun Facebook palsu yang digunakan untuk menyamar sebagai kerabat Diraja Johor, polis Johor menahan seorang lelaki dan seorang wanita pada petang kelmarin.
Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata suspek wanita berusia 40 tahun yang bekerja sebagai operator kilang dan dipercayai membuat akaun palsu, ditahan di lokasi sama antara 3 dan 4 petang.
Sementara itu, bagi seorang lagi suspek lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai eksekutif operasi sebuah syarikat, yang dipercayai mengeluarkan kenyataan jelik, ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini pada 5 petang.
Jelas Wan Ahmad Najmuddin, bagi kes menyamar sebagai kerabat Diraja Johor, suspek disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Manakala, bagi kes membuat kenyataan jelik, suspek disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi lebih setahun atau kedua-duanya sekali.- CARI
sumber foto: FMT |
|