|
Sekalung ucapan tahniah kepada Nassier Wahab yang dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), sekali gus membawa gelaran Datuk.
Memetik BH Online, penyanyi popular era 80-an itu menerima anugerah berkenaan di Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini (Isnin).
Sehubungan itu, Nassier, 55, melahirkan rasa syukur di atas penghargaan itu kerana segala kerja keras sebagai anak seni sejak 30 tahun lalu akhirnya terbalas.
"Seperti tidak menyangka pun ada kerana bagi saya ramai lagi yang lebih layak untuk menerima anugerah ini. Tapi saya percaya pada konsep rezeki dan Allah telah murahkan rezeki saya hari ini.
"Ini adalah anugerah terbesar pernah saya terima sepanjang perjalanan karier seni saya dan sudah tentu ia untuk masyarakat yang sentiasa menyokong saya," katanya.
Selain Nassier, turut menyaksikan 158 lagi penerima darjah-darjah kebesaran dan pingat-pingat negeri Pahang Darul Makmur yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Foto: IG Nassier Wahab
Tahniah diucapkan kepada semua penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang. Semoga terus komited mencurahkan bakti kepada bangsa dan negara. - CARI |
|