Seorang nelayan didakwa merogol pelancong wanita warga New Zealand ditahan polis di kediamannya di Bayan Lepas, awal pagi hari Jumaat, selepas lima hari jadi buruan.
Memetik Harian Metro, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan selepas polis berjaya mengesan nombor pendaftaran motosikal ditunggangnya menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam kejadian 11.45 pagi Ahad lalu, mangsa, 26, diserang suspek ketika berjalan pulang ke inap desa yang disewanya di mana suspek menarik tangan mangsa dan merogolnya di tepi jalan di Tanjung Bungah, Georgetown.
Foto: Church Image Network
Difahamkan, mangsa bersama teman lelakinya bercuti ke negara ini sejak sebulan lalu atas urusan perniagaan.
"Sebelum kejadian, mangsa bersama teman lelakinya keluar berhibur namun mereka bergaduh dan mangsa ditinggalkan teman lelakinya di pub di kawasan bandar.
"Mangsa kemudian menaiki bas dan turun di kawasan berhampiran pantai untuk menenangkan diri," kata sumber.
Tambah sumber, mangsa tak mampu melawan suspek kerana dia dalam keadaan mabuk.
"Mangsa bagaimanapun sempat menjerit meminta pertolongan, namun beberapa saksi menyangkakan perogol dan mangsa adalah pasangan kekasih," katanya.
Mangsa bagaimanapun, bernasib baik kerana jeritan seorang penduduk sebuah kondominium berhampiran yang melihat kejadian membuat penjenayah terkejut dan melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan suspek direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. - CARI |