Baru-baru ini, tular video lelaki memanjat bumbung sebuah PERODUA Myvi di bulatan Jalan Pasir berhadapan Plaza Likas, Kota Kinabalu, kira-kira jam 5.30 petang, 28 Januari lalu.
Memetik BH Online, lelaki warga tempatan itu disahkan berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian. Difahamkan, suspek, 36, mengambil dadah sebelum kejadian dan ujian air kencing mendapati dia positif syabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisiner M Chandra, ketika kejadian suspek keluar dari kereta dipandu rakannya sebelum melakukan kekacauan lalu lintas.
"Suspek kemudian memanjat bumbung sebuah PERODUA Myvi warna putih yang berhenti di bulatan Jalan Pasir sebelum ditangkap orang awam di kawasan terbabit," katanya.
Tambahnya, siasatan mendapati suspek mengaku terbabit kes curi sebuah Toyota Hilux bersama seorang rakannya yang masih bebas di tepi jalan sekitar Karamunsing, jam 10 pagi hari sama.
BEG tangan serta kunci yang ditemui selepas suspek mengaku terbabit kes curi Toyota Hilux
Foto: BH Online
"Suspek yang juga pengawal keselamatan itu direman sejak Isnin lalu hingga hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. - CARI |