Hujung-hujung bulan begini, ramai yang bergaji paras-paras nyawa terpaksa mengikat perut. Maklumlah, nak menunggu gaji seterusnya pula mengambil masa beberapa hari. Ada pula yang terpaksa menunggu hingga seminggu jika syarikat mengalami masalah kewangan.
Jadi, ramai yang cuma makan mee segera atau pun berpuasa.
Namun, ada satu alternatif yang dikongsi oleh portal makanan dari Thailand yang sesuai dinikmati oleh bilangan orang yang ramai, mungkin dimakan bersama rakan serumah. Menu yang dimaksudkan ialah telur mata goreng yang digaul bersama salad. Nampak macam biasa tapi cuba campurkan dengan perasa seperti jus limau nipis, cili padi, sos ikan dan madu. Rasanya sangat lazat. Silap-silap bertambah nasi.
Jom tengok
Salad telur masam manis
Bahan-bahan
- Telur (bilangannya terpulang pada anda)
- Cili padi tumbuk
- Jus limau nipis
- Sos ikan
- Gula/madu
- Hirisan bawang
- Hirisan lobak merah
- Daun saderi dan tomato
Cara membuatnya
1) Pecahkan telur dalam mangkuk (sebiji-biji) dan tak perlu kacau pun.
2) Goreng dalam minyak yang banyak (pastikan telur kuning tidak pecah).
3) Balik-balikkan telur mengikut kegaringan yang anda mahu. Tos kan dan ketepikan
4) Sementara itu, masukkan cili padi, sos ikan, jus limau nipis dan gula dalam mangkuk.
5) Taburkan hirisan bawang dan lobak merah.
6) Masukkan juga daun saderi dan hirisan tomato. Kacau biar sebati.
7) Gunting telur dan masukkan ke dalam adunan tadi. Kacau sebati.
Anda boleh menyesuaikan dengan citarasa sendiri ya. Mungkin boleh kurangkan sedikit penggunaan minyak ketika mengoreng. Kesihatan kena jaga ya. - CARI