Bernama
| May 16, 2018
Abdullah Md Seh, bapa kepada seorang daripada tertuduh berkata petunjuk tersebut diperoleh selepas mengadakan solat hajat dan solat sunat istikharah
Pengamal perubatan itu juga berkata dihubungi lelaki mendakwa dirinya pelajar UPNM dan ingin meminta pandangan mengenai kes kecurian komputer riba itu.
KUALA LUMPUR: Seorang pengamal perubatan Islam memberitahu Mahkamah Tinggi dia mendapat petunjuk mengatakan Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dipercayai didera rakan seuniversitinya, tahun lalu, mencuri sebuah komputer riba.
Abdullah Md Seh, 56, bapa kepada seorang daripada tertuduh dalam kes pembunuhan itu, berkata petunjuk tersebut diperoleh selepas mengadakan solat hajat dan solat sunat istikharah bagi membantu pelajar UPNM mencari individu yang mencuri komputer riba yang dikatakan hilang di universiti tersebut.
“Petunjuk datang dari gerak hati, nampak nama. Saya ada guna ‘barang’ jugak. Nama (Zulfarhan Osman) nampak, timbul pada pandangan saya,” kata bapa kepada Muhamad Ashraf, tertuduh ke-18 yang didakwa dengan sengaja mencederakan Zulfarhan Osman.
Abdullah merupakan saksi pendakwaan ke-13 berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada prosiding perbicaraan hari ketujuh kes itu, hari ini.
Ketika saksi menceritakan perkara itu, keluarga mangsa, keluarga tertuduh dan orang awam yang berada di galeri awam di dalam bilik bicara kelihatan berbisik-bisik dan kedengaran keluarga mangsa ketawa sinis.
Menceritakan lanjut, bekas pesara tentera itu berkata dia dihubungi oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya pelajar UPNM dan rakan kepada Muhamad Ashraf memberitahu ingin meminta pandangannya mengenai kes kecurian komputer riba di UPNM.
Memberitahu dia tidak mengingati bilakah panggilan itu diterima, Abdullah berkata pemanggil tersebut membacakan senarai nama beberapa individu yang disyaki mencuri komputer riba dan dia mencatitnya pada sehelai kertas sebelum melakukan solat hajat dan solat sunat istikharah.
“Saya tulis nama-nama itu dalam kertas. Kertas tu dah tak ada dah, sebab benda ni dah lama, saya tak simpan. Jadi salah seorang daripada (senarai nama) tu ada petunjuk mengatakan dia mencuri, tetapi tidak ada bukti,” katanya yang juga kemudiannya memberitahu Muhamad Ashraf bahawa Zulfarhan Osman adalah orang yang disyaki mencuri komputer riba itu.
Kepada soalan Othman mengapa Abdullah memberitahu nama orang yang disyaki mencuri itu kepada anaknya dan bukan kepada lelaki yang menghubunginya, saksi tersebut berkata ia kerana dia tidak mempunyai nombor telefon pemanggil dan dia diberitahu pemanggil adalah rakan kepada anaknya.
Abdullah berkata dia bagaimanapun beberapa kali berpesan kepada anaknya dan rakan-rakan supaya menyelesaikan perkara itu dengan baik, tidak bertindak di luar batasan dan mengadakan solat hajat, kerana tiada bukti dalam kes berkenaan.
Sementara itu, saksi pendakwaan Ke-14, Sarjan Mohd Tarmizi Saad, 39, yang bertugas di Pusat Perubatan UPNM memberitahu dia menemui sekeping nota yang diselit di pagar depan pusat perubatan itu pada 23 Mei 2017, kira-kira 9 hari sebelum Zulfarhan Osman meninggal dunia pada 1 Jun 2017.
Mohd Tarmizi memberitahu, dia kemudian membuka nota itu yang ditemui dalam keadaan berlipat dan di dalamnya tertera ayat, “Kalau ada hati perasaan, ada sifat perikemanusiaan, saya minta sangat-sangat pergi ‘ambush’ bilik 4-10, Blok Satria (depan masjid). Dalam tu ada pesakit sangat-sangat perlukan rawatan segera. SEGERA!!! – Hamba Allah.”
Saksi itu berkata dia kemudian mengambil nota bertulis tangan itu dan menyerahkan kepada Kapten Haryani Hassan, jurulatih bertugas pada hari berkenaan untuk tindakan lanjut.
Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin, Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Pertuduhan terhadap mereka yang kesemua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang-sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.