"Hati saya jadi tidak tenang dan hanya tidur tiga jam sehari. Kejadian hitam itu seperti baru berlaku semalam."
Berikutan gambarnya 'berpelukan' dengan pelakon Zarina Anjoulie di sebuah kelab malam tersebar baru-baru ini, penyanyi Ismail Izzani akui emosinya kacau ketika ini.
Kredit foto: IG Ismail Izzani
"Sejujurnya, selepas kontroversi itu empat hari saya susah nak tidur kerana asyik memikirkan apa yang telah berlaku," katanya kepada mStar Online.
Ismail, 18, juga anak kepada penyanyi era 1980an iaitu Datin Suliza Salam, bagaimanapun akui perjalanannya masih panjang dalam industri, jadi dia tidak boleh 'terus jatuh' dan perlu mengambil segala yang telah berlaku sebagai pengajaran buatnya.
"Saya telah mengecewakan semua orang dan sedar bukan mudah untuk mereka maafkan saya, cuma selepas ini saya akan buat lebih baik supaya mereka dapat menerima saya semula.
"Ini adalah ujian paling hebat yang pernah saya terima sepanjang 18 tahun hidup dan ia merupakan pengajaran sangat berguna untuk saya.
"Sebelum ini, mama pernah menasihati saya supaya berhati-hati dan ingatkan dalam industri ini artis yang akan jatuhkan artis dan sekarang baru saya percaya kata mama itu betul," katanya.
Walaupun dihujani tohmahan dan dakwaan daripada Zarina Anjoulie dan Fathia Latiff, Ismail bagaimanapun mengambil langkah untuk berdiam diri sehingga tiba masa sesuai untuk mengeluarkan kenyataan.
"Saya tak mahu komen mengenai apa yang didakwa oleh mereka kerana lagi kita bercerita akan membuka ruang kepada mereka.
"Bersabarlah, tiba masanya saya akan keluarkan kenyataan. Kami dah berbincang bersama keluarga dan pihak pengurusan untuk tidak ulas isu ini secara mendalam buat masa ini," katanya.
Kredit foto: IG Fathia Latiff
Terdahulu, Fathia Latiff berkongsi gambar berkenaan di laman Instagramnya, namun telah dipadam.
Kemudian, Zarina pula memuat naik video bersama Fathia berkongsi cerita yang berlaku antara mereka bertiga.
Kredit foto: IG Zarina Anjoulie
Alamak, macam kena buli dengan senior pun ada juga Mael ni. Apapun, semoga semuanya selesai dengan segera dan tidak meleret hingga mencetuskan 'peperangan' pula. - CARI |