Dua lelaki tidak berhati perut dengan zalimnya menganiaya dan membunuh seekor kucing terbiar di sebuah kedai dobi di Taman Gombak Ria, Gombak jam 12.30 tengah malam, semalam, lapor Harian Metro.
Persatuan Haiwan Malaysia menerusi Facebooknya berkongsi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai dobi berkenaan di mana dua pelanggan memasukkan kucing malang itu ke dalam mesin pengering.
Mereka kemudian keluar dari kedai dengan membawa pakaian yang sudah dibasuh, namun kembali selepas beberapa saat dan memasukkan duit syiling ke dalam mesin berkenaan.
Selepas menekan butang 'mula' pada mesin pengering yang dimasukkan kucing betina itu, mereka meninggalkan premis berkenaan.
Kucing itu kemudian ditemui seorang pelanggan dalam keadaan berlumuran darah jam 10.30 pagi hari sama sebelum melaporkannya kepada pihak pengurusan dobi.
Arie Dwi Andika selaku Presiden Persatuan Haiwan Malaysia berkata, pihaknya mengecam tindakan kejam dua lelaki itu dan sudah melaporkan kejadian kepada polis.
"Hasil penelitian CCTV mendapati memang terdapat tiga lelaki datang ke kedai dobi berkenaan untuk membasuh baju mereka.
"Namun, dua daripadanya tiga lelaki itu kemudian bertindak memasukkan kucing betina yang sedang bunting ke dalam mesin pengering dan membiarkannya," katanya.
Persatuan Haiwan Malaysia
Menurutnya, pihak pengurusan dobi menghubungi Persatuan Haiwan Malaysia bagi mendapatkan pandangan sebelum pihaknya mengambil keputusan membuat laporan polis pada jam 11 malam semalam.
"Berdasarkan maklumat diperoleh, dua lelaki berkenaan adalah rakyat tempatan dan dipercayai tinggal berdekatan berikutan kerap membasuh baju di situ.
"erbuatan dua lelaki itu memang cukup zalim dan berharap agar pelaku dijatuhi hukuman setimpal mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya. - CARI |