"Agaknya mereka takut kerana menyangkakan saya seorang yang garang."
Penyanyi dangdut popular, Mas Idayu tidak menolak untuk berkahwin lagi, lapor Berita Harian.
Kredit foto: IG Mas Idayu
Namun, penyanyi berusia 49 tahun itu mengakui dia berasa hairan kerana tiada lelaki berani mendekati dirinya.
"Takkanlah saya pula yang terpaksa mengejar lelaki?" ujarnya berseloroh.
Bercerita mengenai ciri-ciri lelaki idamannya, Mas Idayu mendedahkan dia lebih cenderung memilih lelaki lebih berusia.
"Saya sebenarnya lebih suka lelaki berusia kerana mereka akan menjaga kita dengan baik, selain membuat saya berasa lebih selamat.
"Tetapi, apabila ada yang mendekati, biasanya lelaki itu lebih muda. Saya tidak mahu lelaki muda kerana biasanya, golongan itu hanya mahu mengikis duit kita," ujarnya.
Pun begitu, Mas Idayu akui sukar baginya membuka kembali pintu hatinya apabila dia harus mengambil kira perasaan anak tunggalnya, Nur Dayini Ashiqah yang tidak mengizinkannya mencari pengganti.
Katanya, Dayini bimbang dirinya tidak lagi disayangi jika Mas Idayu berkahwin lain.
"Cakapnya itu membuatkan saya terpaksa berfikir panjang. Sebelum ini, apabila bekas suami berkahwin semula, dia menangis.
"Katanya, papa sudah tidak sayang dia lagi apabila berkahwin lain hingga saya terpaksa menasihatkannya supaya reda dengan jodoh bapanya.
"Saya pujuk dia dengan memberitahu, sekurang-kurangnya nanti, ada orang yang boleh menjaga papanya.
"Kalau begini gayanya, nampaknya sampai bila-bila saya akan terus menjanda," katanya.
Mas Idayu dan pelakon Aman Graseka berkahwin pada 1997 dan berpisah pada 2006.
Alahai, kesian pula pada Dayini. Agaknya berapa lama dia akan merajuk jika Mas Idayu berkahwin lain kelak? - CARI
|