Foto: IG Hafidz Roshdi
Nama Hafidz Roshdi seakan-akan tenggelam pula kebelakangan ini.
Sejak menimang anak pertama September tahun lepas, ada yang mengatakan popularitinya kini sudah merudum.
Namun menurut Hafidz, memperlahankan karier seni adalah pilihannya sendiri untuk memberi tumpuan kepada bayi perempuannya, Humairah, 15 bulan.
Katanya, disebabkan terikat dengan komitmen lakonan , dia pernah tersentak apabila Humairah tidak mengenalinya selepas sebulan tidak bertemu.
"Situasi itu betul-betul menyedarkan saya bahawa keluarga dan anak lebih penting daripada segala-galanya dan sebab itu saya ambil keputusan untuk perlahankan karier.
"Saya tidak mahu kerana terlalu sibuk bekerja sampai anak tak kenal saya. Cukuplah sebelum ini sebulan saya tiada, bila pulang dia tidak kenal saya," katanya kepada mStar Online.
Hafidz juga langsung tak ambil pusing bila namanya dikatakan sudah tenggelam kerana baginya rezeki adalah terletak di tangan Tuhan.
"Apa yang penting saya perlu berusaha keras demi keluarga dan bukannya meletakkan label itu sebagai punca rezeki."
Dalam perkembangan lain, aktor ini mahu membuka syarikatnya sendiri kerana tidak mahu berada di takuk lama.
"Memang impian saya untuk bergelar pengarah dan penerbit dan Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar pasti ia terlaksana.
"Buat masa sekarang masih banyak perkara perlu saya pelajari dan perbaiki sebelum bersedia ke arah itu." -CARI
|