Shepherd menunjukkan bagaimana dia membelasah lelaki yang cuba menyamunnya. Kredit foto: Associated Press
Seorang penyamun di West Palm Beach, Florida, Amerika Syarikat tidak menyangka lelaki tua yang disasarkannya sebagai mangsa pernah menyandang gelaran juara dunia dalam sukan kickboxing sebanyak lima kali.
Dia mungkin pada mulanya menganggap Steve Shepherd, 68, sebagai sasaran yang mudah setelah melihat jaguh kickboxing yang mengalami kekejangan otot pada kakinya itu berjalan dalam keadaan tempang dari sebuah restoran ke keretanya.
Memetik laporan The Palm Beach Post pada 3 Januari, rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan lelaki berambut panjang yang berusia sekitar awal 20-an berjalan mundar-mandir di lorong kecil berdekatan selama beberapa jam,mungkin sedang mencari mangsa untuk disamun.
"Dia telah memilih orang yang salah," kata Shepherd.
Shepherd pada zaman kegemilangannya sebagai juara kickboxing. Kredit foto: Carian Google
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, Shepherd berkata, kepalanya dipukul dengan botol oleh seseorang semasa dia berjalan menuju ke keretanya.
Menurut beliau, penglihatannya menjadi gelap selama beberapa saat sebelum suspek menumbuknya pada bahagian muka, berhampiran mata kiri.
Shepherd kemudian mendengar lelaki tersebut menjerit dalam keadaan marah, "Berikan aku telefon kau!".
Dalam keadaan bingung selepas ditumbuk, bekas juara kickboxing itu menyangka beliau secara tidak sengaja mengambil telefon penyamun tersebut semasa di dalam restoran.
Shepherd kemudian mengumpul semula kekuatannya dan menumbuk rusuk kanan suspek sehingga menyebabkan beberapa tulang pada bahagian itu dipercayai patah.
"Dia jatuh terduduk di situ dan saya terdengar bunyi tulang rusuknya patah," jelasnya.
Beberapa orang yang berada di tempat kejadian menyangka Shepherd dan penyerangnya terlibat dalam pergaduhan dan cuba meleraikan mereka, sekali gus memberi ruang kepada suspek untuk melarikan diri.
Pejabat Sheriff Mukim Palm Beach sedang memburu suspek manakala Shepherd yang cedera pada gegendang telinga dan muka berharap beliau cergas sepenuhnya untuk bertanding sebagai lelaki paling tua menyertai pertembungan kickboxing profesional pada Mac depan.
Bagaimana agaknya nasib penyamun itu? Mungkin dia dalam kesakitan yang amat sangat selepas dibelasah oleh Shepherd. - CARI |