Seorang lelaki berkelakuan pelik apabila menjilat loceng pintu di sebuah rumah yang dicerobohinya di Salinas, California pada malam sambutan tahun baharu 2019.
Perbuatannya itu dirakam kamera keselamatan yang dipasang berhampiran pintu oleh pemilik rumah tersebut.
Memetik laporan Mirror, rakaman yang disebarkan pihak polis menunjukkan dengan jelas wajah suspek yang dikenal pasti sebagai Roberto Daniel Arroyo, 33.
Kredit foto: Mirror
Lelaki berkenaan turut dilihat membuang air kecil di halaman rumah milik keluarga Dungan serta mencuri perentas pemanjangan yang diletakkan di situ.
"Kami agak terkejut kerana rakaman video adalah sangat jelas, jadi kami tidak mengambil masa terlalu lama untuk mengenal pasti individu tersebut," kata jurucakap Jabatan Polis Salinas.
Arroyo dipercayai meluangkan masa selama kira-kira tiga jam di halaman rumah Dungan dan sepanjang tempoh itu, Sylvia Dungan serta suaminya keluar manakala anak-anak mereka sedang tidur di dalam rumah.
Mereka menghubungi pihak polis setelah menyaksikan perbuatan aneh Arroyo dalam rakaman kamera keselamatan.
Walaupun bimbang dengan insiden tersebut, Dungan mengakui dia agak lega kerana tiada perkara buruk berlaku terhadap keluarganya pada malam itu.
"Saya tertawa sendirian selepas itu kerana secara teknikalnya, dia tidak mencederakan sesiapa, malah dia tidak memecahkan apa-apa pun," jelasnya.
Arroyo juga dipercayai menceroboh kawasan rumah seorang jiran Dungan dan polis menyatakan suspek berdepan dua tuduhan berkaitan kesalahan kecil.
Mungkin motif sebenar Arroyo menjilat loceng pintu hanya boleh diketahui selepas dia ditahan dan disoal siasat oleh pihak polis. - CARI