Jenan Ayesh diserang dalam satu insiden berunsur jenayah kebencian di Dallas, Texas pada 29 Disember 2018. Kredit foto: Enid News & Eagle
Seorang wanita Islam dari Enid, Oklahoma, Amerika Syarikat terpaksa mengharungi pengalaman penuh trauma apabila hijabnya ditanggalkan dan disuruh 'pulang ke negara asal' dalam insiden di Dallas, Texas kira-kira seminggu lalu.
Memetik laporan HuffPost pada 9 Januari, kejadian itu berlaku semasa Jenan Ayesh dan keluarganya bercuti di Dallas.
Dalam sidang media di Oklahoma City pada 4 Januari lalu, Jenan menyatakan fikirannya terganggu kerana ibu dan anak perempuannya yang berusia 10 tahun turut menyaksikan insiden berkenaan.
"Adalah sukar bagi saya untuk mengharungi pengalaman ini. Saya tidak pernah menyangka akan diserang sebegini, lebih-lebih lagi di hadapan ibu saya.
"Satu pengalaman yang sukar bagi ibu dan anak perempuan saya yang menyaksikan kejadian itu. Tiada kanak-kanak yang sepatutnya melihat ibu mereka diperlakukan sedemikian rupa," katanya dalam sidang akhbar anjuran Majlis Hubungan Amerika-Islam Cawangan Oklahoma (CAIR-OK).
Jenan dalam sidang media anjuran CAIR-OK. Kredit foto: HuffPost
Jenan memberitahu, serangan itu berlaku pada 29 Disember 2018 ketika dia dan keluarganya menunggu kenderaan untuk pulang selepas mengunjungi Menara Reunion iaitu destinasi pelancongan yang popular di Dallas.
Kata Jenan, seorang wanita ingin menggunakan sebuah pintu yang terhalang kerana dia dan keluarganya sedang berdiri di hadapannya.
Wanita itu tiba-tiba berang dan meminta Jenan 'pulang ke negara asalnya' namun apabila dia menjelaskan bahawa Amerika Syarikat adalah negara asalnya, suspek bertanya mengapa Jenan memakai hijab.
Jenan mendakwa, wanita tersebut menampar mukanya sebanyak dua kali, menanggalkan hijabnya dan menarik rambutnya sebelum lari dari tempat kejadian.
Berikutan insiden itu, dia mengalami sakit kepala, leher dan dada pada keesokannya serta membuat laporan polis pada hari yang sama.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Polis Dallas, Carlos Almeida berkata, kes tersebut sedang disiasat dan diklasifikasikan sebagai jenayah kebencian.
Nampaknya, masih ada rakyat Amerika Syarikat yang tidak memahami maksud hak kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan negara itu. - CARI |