'Hujan labah-labah' kelihatan di sebuah kampung di Minas Gerais, Brazil
Kredit foto: Joao Pedro Martinelli Fonseca
Sebuah kampung di selatan Minas Gerais, Brazil mengalami fenomena aneh apabila ‘dihujani’ ratusan labah-labah yang kelihatan seperti turun dari langit di kawasan itu.
Kejadian luar biasa itu dirakamkan seorang remaja lelaki, João Pedro Martinelli Fonseca, 14, ketika dalam perjalanan ke ladang milik datuknya, baru-baru ini.
Memetik laporan MSN News, Fonseca mengakui bahawa fenomena tersebut menyebabkan dia terkejut dan ketakutan.
“Saya terkejut apabila menyaksikan begitu banyak bintik hitam kelihatan di langit,” katanya.
Fenomena luar biasa ini berlaku disebabkan oleh cuaca yang panas dan lembab
Kredit foto: Joao Pedro Martinelli Fonseca
Sementara itu, neneknya memberitahu, sebenarnya terdapat lebih banyak labah-labah daripada apa yang dilihat dalam video.
“Kami pernah menyaksikan fenomena ini, kebiasaannya pada waktu senja semasa cuaca sangat panas,” jelasnya,
Seorang ahli biologi pula menyatakan, walaupun semua labah-labah itu kelihatan seperti jatuh dari langit, mereka sebenarnya melekat pada sawang gergasi yang dihasilkan untuk memerangkap mangsa.
“Ia merupakan taktik untuk memperluaskan kawasan memerangkap serangga yang menjadi makanan labah-labah,” katanya.
Beliau menambah, fenomena luar biasa itu disebabkan cuaca yang panas dan lembab.
Tidak mustahil fenomena serupa boleh berlaku di Malaysia berikutan cuaca yang sangat panas ketika ini. - CARI |