Seorang koperal tentera berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebat atas pertuduhan mencabul anak kandungnya.
Memetik Berita Harian, tertuduh berusia 30 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah di Mahkamah Sesyen, hari ini.
Kredit foto: Berita Harian
Berdasarkan pertuduhan itu, tertuduh didakwa memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa berusia empat tahun di sebuah rumah di Bandar Baru Putra, Ipoh pada Disember lalu.
Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat selain diletakkan di bawah pengawasan polis minimum setahun atau maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwaraya, Naidatul Athirah Azman memohon supaya tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana bimbang membuat gangguan memandangkan dia tinggal serumah dengan mangsa dan ibu mangsa.
Permohonan itu juga dibuat dengan mengambil kira kemungkinan berlaku kacau ganggu terhadap saksi-saksi pendakwaan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam yakin dirinya tidak bersalah, namun mahkamah memintanya mendapatkan nasihat peguam kerana tuduhan dihadapinya serius.
Dalam masa sama, tertuduh memohon jaminan diberikan kepadanya memandangkan dia masih bertugas.
Julie Lack dan Naidatul Athirah sepakat tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 25 Februari sebagai sebutan semula kes. - CARI |