Casey Hathaway mendakwa seekor beruang melepak dengannya semasa dia hilang di dalam hutan selama dua hari. Kredit foto: Facebook
Seorang kanak-kanak lelaki di North Carolina, Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan hilang selama dua hari mendakwa dia 'melepak dengan seekor beruang' ketika ditemukan semula pada 24 Januari lalu.
Memetik laporan Mirror, Casey Hathaway yang berusia tiga tahun bermain di luar rumah moyangnya bersama dua kanak-kanak lain sebelum dia merayau-rayau di dalam hutan berdekatan.
Pencarian yang melibatkan ratusan orang dengan dibantu oleh penggunaan dron, helikopter dan anjing pengesan dilancarkan namun Casey masih tidak dapat ditemukan.
Ramai yang bimbang dengan keadaaan budak lelaki itu kerana suhu di kawasan tersebut berada pada tahap beku serta hujan lebat dalam masa beberapa hari selepas Casey dilaporkan hilang.
Mujurlah, seorang wanita tempatan, Lisa Fraker berjaya menemukan Casey apabila dia pulang ke rumah selepas menyertai operasi pencarian.
Dia membuat panggilan kecemasan setelah mendengar bunyi seperti kanak-kanak menangis berhampiran kawasan rumahnya.
Operasi pencarian Casey turut dibantu dengan penggunaan dron, helikopter dan anjing pengesan. Kredit foto: Facebook
Pegawai unit panggilan kecemasan, Kapten Shane Grier seterusnya menemukan Casey di kawasan semak namun dia dilihat tidak mengalami kecederaan serius dan dihantar ke sebuah hospital berdekatan untuk menerima rawatan bagi luka dan lebam pada badannya.
Ibu saudaranya, Breanna Hathaway menulis dalam laman Facebook miliknya bahawa keadaan Casey semakin baik dan dia kelihatan sihat serta tersenyum dan suka berbual.
Casey meminati rancangan kartun Masha and the Bear. Kredit foto: Carian Google
"Casey kata dia melepak dengan seekor beruang selama dua hari. Tuhan telah menghantar seorang kawan untuk menjaganya," katanya sambil menambah, anak saudaranya itu merupakan seorang peminat rancangan kartun Rusia, Masha and the Bear.
Tidak pasti pula sama ada dakwaan Casey itu benar atau sekadar imaginasi tetapi awasilah anak-anak ketika mereka bermain di luar rumah bagi mengelakkan berlaku insiden tidak diingini. - CARI |