St. Kitts & Nevis mempunyai angkatan tentera terkecil di dunia.
Kredit foto: Carian Google
Setiap negara lazimnya mempunyai peruntukan pertahanan tahunan yang besar dan jumlah anggota tentera yang ramai bagi menjaga kedaulatannya daripada pencerobohan pihak asing.
Namun, seperti dilaporkan The Infographics Show, lima negara yang disenaraikan ini dianggap mempunyai angkatan tentera paling lemah di dunia berikutan peruntukan pertahanan dan jumlah angkatan tentera mereka yang sangat kecil.
Sekumpulan rekrut tentera St. Kitts & Nevis pada perbarisan tamat latihan.
Kredit foto: Carian Google
Saint Kitts & Nevis
Negara yang dibentuk oleh dua pulau di Hindia Barat ini hanya mempunyai 300 anggota tentera berbanding jumlah penduduk seramai 55,000 orang.
Pasukan Pengawal Pantai negara ini memiliki sebuah bot yang disumbangkan Amerika Syarikat (AS) manakala hanya 28 rekrut tentera baharu menyertai sesi pengambilan pada 2016.
Anggota-anggota tentera Antigua & Barbuda menjalani latihan.
Kredit foto: Carian Google
Antigua & Barbuda
Angkatan Pertahanan Antigua & Barbuda yang terdiri daripada 245 anggota bertanggungjawab menjaga keselamatan kira-kira 91,000 rakyat di negara yang terletak di kepulauan Caribbean itu.
Ia menerima peruntukan pertahanan sebanyak ASD10 juta setahun dan mempunyai tujuh bot Pengawal Pantai bagi membanteras kegiatan jenayah di laut.
Tentera Tonga pernah bertempur dalam Perang Dunia Pertama.
Kredit foto: Carian Google
Tonga
Walaupun Angkatan Tentera Diraja Tonga mempunyai hanya 700 anggota, mereka pernah mencatat sejarah apabila bergandingan dengan tentera New Zealand dalam Perang Dunia Pertama.
Dengan peruntukan pertahanan sebanyak ASD5 juta setahun, pasukan tentera yang kecil ini memiliki tiga bot peronda dan dua pesawat udara kecil yang kebiasaannya digunakan untuk mengawasi sempadan serta aktiviti perikanan.
Pesawat Boeing E-3 Sentry milik pasukan tentera udara Luxembourg.
Kredit foto: Carian Google
Luxembourg
Walaupun negara yang terletak di barat Eropah ini hanya mempunyai kira-kira 400 anggota tentera, peruntukan pertahanannya agak besar iaitu sebanyak ASD369 juta setahun.
Pasukan tentera udaranya memiliki 17 pesawat Boeing E-3 Sentry dan sebuah pesawat Airbus A400M Atlas.
Seorang anggota tentera Somalia gigih berlatih walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
Kredit foto: Carian Google
Somalia
Angkatan Tentera Kebangsaan Somalia mempunyai kira-kira 12,000 anggota yang berkhidmat secara aktif dan disokong 24,000 anggota simpanan. Ia juga memiliki sebanyak 140 kereta kebal dan 420 kenderaan tempur berperisai, namun kekuatan tentera lautnya sangat lemah manakala pasukan udaranya langsung tidak wujud.
Dengan peruntukan pertahanan yang agak kecil iaitu sebanyak ASD58 setahun, tentera Somalia tidak berupaya mengawal ketenteraman dalam negara yang mempunyai lebih 12 juta penduduk dan sering dilanda konflik dalaman.
Mujurlah Malaysia tidak termasuk dalam senarai walaupun Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pernah menyatakan negara ini adalah paling lemah di Asia Tenggara dari aspek ketenteraan. - CARI |