(Sumber: www.muftiwp.gov.my)
Kubur mungkin bukan tempat yang biasa dikunjungi untuk mencari ketenangan. Bahkan, ia turut mengundang kesedihan dan kerinduan tidak bertepi kepada pengunjungnya.
Tapi, bagi seorang kanak-kanak yang kini tabah berjuang melawan kanser, kubur adalah tempat yang memberi ketenangan dan membuatnya lebih bersedia untuk menghadapi kematian pada usia muda.
Dalam satu hantaran umum oleh pengasas bersama Red Bubbles atau Persatuan Penghibur Kanak-Kanak Buih Merah KL & Selangor iaitu Dr Bubbles atau nama sebenarnya Iskandar Syah Ismail, beliau berkongsi kisah mengenai kanak-kanak bernama Aqib.
(Sumber: Facebook Iskandar Syah Ismail)
Meskipun masih muda, ternyata ketenangan dan persediaan Aqib menyembunyikan sengsara yang ditanggungnya akibat kanser. Berhadapan dengan kematian rakan-rakan lain mungkin antara faktor menyebabkan Aqib tidak berasa asing dengan dunia kematian yang bakal kita semua tempuhi.
Dia juga turut menitipkan pesan kepada ibu bapanya agar "...selalulah datang rumah adik ya. Bersihkan rumah adik. sedekahkan adik Al-Fatihah macam ibu ayah buat untuk datuk."
Siapalah tidak sedih mengenangkan anak yang masih kecil hanya dipinjamkan buat sementara di alam fana ini? Namun, ibu bapa Aqib masih terus menaruh harapan agar pada suatu hari nanti, Adib diberi kesembuhan sepenuhnya serta berjaya di dunia dan akhirat. Realitinya, keadaan sebegini tidak asing dalam kalangan pesakit kanser kanak-kanak dan ahli keluarga mereka.
Disebabkan itulah, Red Bubbles muncul sebagai sinar harapan yang menceriakan pesakit kanser cilik ini agar dapat mengharungi hari dengan lebih ceria meskipun diselubungi kesedihan dan kesakitan.
Berperanan sebagai badut, mereka sering mengunjungi hospital untuk menceriakan kanak-kanak yang berada di wad. Selain itu, sebagai jalan untuk mengumpul dana aktiviti mereka, mereka turut menghasilkan karya yang terinspirasi daripada kisah mereka dengan kanak-kanak bernama Baim.
(Sumber: www.redbubbles.org.my)
Buat adik Aqib, kami doakan adik agar diberi kesembuhan sepenuhnya daripada sebarang penyakit yang dihidapi. Semoga seluruh keluarga adik terus diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini. - CARI |