PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive dapat sambutan dan reaksi positif
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/03/539734/petronas-primax-95-dengan-pro-drive-dapat-sambutan-dan-reaksi
JOHOR BAHRU: Petrol RON 95 formulasi terbaharu, dikenali sebagai PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive yang dilancarkan PETRONAS Dagangan Bhd (PDB), bulan lalu mendapat sambutan dan reaksi positif daripada pengguna.
Kebanyakkan pengguna yang sudah merasai pengalaman menggunakan bahan api yang didatangkan dengan ciri “Dual Friction Modifier” yang pertama di dunia itu dapat melihat perbezaan dari segi penjimatan, jika dibandingkan petrol sebelum ini.
Ketua Teknologi Bahan Api PDB, Mohamad Hafiz Abd Aziz, berkata PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive diuji berhasil mengurangkan geseran dalam enjin sebanyak 20 peratus berbanding bahan api sebelum ini yang didatangkan dengan modifier tunggal. “Kesannya, enjin kenderaan menjadi lebih lancar dan responsif. Kedua, ia juga hadir dengan “Double Detergent” yang berupaya membersihkan sehingga 99 peratus deposit karbon.
“Dibangunkan selama dua tahun, Primax 95 dengan Pro-Drive direka sepenuhnya di Malaysia, sebelum turut diuji di Amerika Syarikat dan ini juga kali pertama pembangunan bahan api petrol yang turut mengambil kira pemerhatian terhadap penggunaan terhadap kenderaan hibrid di dalam proses pembangunannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan tengah hari dan penerangan produk PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive bersama pengamal media di sini, hari ini.
Mohamad Hafiz berkata, petrol baharu itu juga hadir dengan ciri anti-hakisan enjin yang kini menyediakan dua kali lebih perlindungan kepada enjin. “Ujian dan pemerhatian ke atas kenderaan juga mendapati, baki tenaga bateri yang tersisa masih berbaki dua peratus berbanding penggunaan petrol biasa. Ia juga menggunakan kurang tenaga bateri dan bahan api bagi satu jarak perjalanan yang sama,” katanya.
Orang ramai kini boleh mencuba petrol terbaharu itu di lebih 1,000 stesen minyak PETRONAS di seluruh negara, termasuk 148 di Johor
|