Kredit foto: Carian Google
Hasrat Balai Seni Visual Negara untuk menganjurkan pameran lukisan bertemakan siri animasi popular dari Jepun, Doraemon sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dipersoalkan peminat kartun tempatan.
Rata-rata mereka hairan mengapa karya asing yang diketengahkan sebagai daya tarikan pelancong ke negara ini sedangkan masih banyak kartun tempatan yang sepatutnya diberi keutamaan.
Memetik laporan BH Online, Pengerusi Balai Seni Visual Negara, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, pameran bertemakan Doraemon itu secara tidak langsung mampu menarik kunjungan pelancong asing ke Malaysia.
Netizen seterusnya berkongsi kekecewaan yang diluahkan pengendali laman Facebook Dunia Kartun Lat yang menganggap kenyataan itu sebagai sedih dan memilukan.
Kredit foto: Facebook
Walaupun ramai netizen menyatakan mereka meminati Doraemon, watak animasi itu dianggap tidak mewakili identiti Malaysia jika dibandingkan dengan kartun The Kampung Boy yang dihasilkan kartunis terkenal, Datuk Lat.
Malah, mereka berpandangan pameran sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 itu sepatutnya digunakan untuk mempromosikan penggiat dalam dunia kartun dan animasi tempatan.
Kredit foto: Facebook
Namun, ada juga yang berpandangan mungkin berlaku salah faham ekoran laporan media yang memberi tumpuan kepada pengumuman mengenai pameran bertemakan Doraemon.
Kredit foto: Facebook
Elok juga kalau Balai Seni Visual Negara memberi penjelasan lanjut tentang isu ini bagi mengelakkan berlaku salah faham dan kekeliruan dalam kalangan penggiat serta peminat kartun tempatan. - CARI
|