Status Facebook pegawai khas Menteri Besar Negeri Sembilan yang memperlekehkan wartawan. Kredit foto: Facebook
Gara-gara terlanjur kata melabelkan wartawan Sinar Harian sebagai 'bingai', pegawai khas Menteri Besar Negeri Sembilan dikecam oleh pengamal-pengamal media tempatan yang kesal dengan perbuatannya yang kurang sopan itu.
Individu terbabit menggunakan perkataan itu bagi meluahkan perasaan tidak puas hatinya berhubung tajuk asal yang digunakan oleh Sinar Harian bagi laporan liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 24 April.
Artikel yang ditulis oleh wartawan Sinar Harian, Syamilah Zulkifli itu adalah tentang jawapan yang diberikan oleh Datuk Seri Aminuddin Harun bagi menjawab soalan berkaitan status pensijilan halal untuk penjualan ayam di pasar raya sekitar Negeri Sembilan.
Walaupun tajuk asal artikel tersebut telah dipinda kepada tajuk baharu, pegawai khas Aminuddin itu masih membuat kecaman berunsur peribadi terhadap wartawan berkenaan.
Tindakan itu mengundang perasaan kesal para pengamal media tempatan yang berpandangan, perkara itu sepatutnya diselesaikan secara baik dan tidak perlu ditularkan.
Kredit foto: Facebook
Salinan jawapan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan. Kredit foto: Facebook
Sementara itu, Pengerusi Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS), Arfi Ahmad berkata, pegawai khas Menteri Besar Negeri Sembilan tersebut sepatutnya menggunakan cara yang lebih berhemah untuk menegur pengamal media.
"Lebih dikesali, beliau yang berkhidmat sebagai pembantu Menteri Besar Negeri Sembilan itu seolah-olah mencerminkan slogan Menteri Besar Negeri Sembilan iaitu Bersih, Muafakat dan Sejahtera langsung tidak ada pada pembantu beliau," katanya seperti dipetik dari satu kenyataan dalam laman Facebook MANIS.
Selain itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) melalui satu kenyataan dalam laman Facebook menegaskan, perbuatan 'menembak wartawan' tidak sepatutnya dilakukan oleh kerajaan yang menyatakan komitmen untuk menyokong kebebasan media.
Kredit foto: Facebook
Dalam pada itu, bekas Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin seperti dipetik dari kenyataan dalam laman blog miliknya menyifatkan perkataan 'bingai' yang digunakan dalam dialek Negeri Sembilan untuk menggambarkan 'orang yang bodoh dan lemah' sebagai satu penghinaan.
"Aminuddin perlu meminta pemilik akaun Facebook berkenaan yang merupakan orang kuatnya memadamkan status menghina wartawan dan meminta pemilik akaun itu meminta maaf secara terbuka kepada wartawan berkenaan," katanya.
Benda boleh selesai secara elok, mengapa perlu ditularkan? -CARI