Bazar Ramadan menjadi tumpuan pengunjung yang mencari juadah untuk berbuka puasa. Kredit foto: Selangorkini
Bazar Ramadan yang menawarkan beraneka juadah untuk berbuka puasa sememangnya menjadi godaan yang sangat besar kepada para pengunjungnya.
Dalam keadaan lapar dan dahaga, semua makanan dan minuman yang ditawarkan nampak menggiurkan belaka.
Sehubungan itu, Persatuan Dietitian Malaysia berkongsi tips melalui laman sesawangnya tentang cara menangani godaan bazar Ramadan.
1. Beli hanya dari satu gerai pada setiap kunjungan
Walaupun terdapat banyak makanan yang ingin dicuba dari pelbagai gerai, pengunjung seharusnya mengawal diri dengan membeli hanya satu atau dua jenis makanan dari sesebuah gerai setiap hari.
Tidak perlu membawa wang yang banyak ketika mengunjungi bazar Ramadan. Kredit foto: Malay Mail
2. Kawal perbelanjaan anda
Bawa wang dalam jumlah yang terhad untuk membeli makanan dan minuman. Mungkin RM10 sehari sudah memadai.
3. Bakar kalori semasa meronda di bazar
Berjalanlah dari satu hujung bazar Ramadan ke hujung yang lain sebelum membuat keputusan makanan apakah yang ingin dibeli. Anda boleh membakar sekurang-kurangnya 100 kalori dengan melakukan aktiviti ini.
4. Dengarlah bisikan tubuh anda
Makan perlahan-lahan semasa berbuka, nikmati setiap kunyahan dan berhenti apabila anda tidak lagi berasa lapar. Makan sedikit snek kemudian apabila anda terasa lapar semula.
Memakan kurma merupakan cara terbaik untuk memulihkan kadar glukosa dalam tubuh yang rendah semasa berpuasa. Kredit foto: Carian Google
5. Kurma makanan terbaik untuk berbuka
Makanan yang kaya dengan karbohidrat dan manis adalah yang terbaik. Kuih manis seperti kuih lapis dan seri muka juga merupakan pilihan yang baik untuk mengembalikan glukosa dalam badan namun perlu dikawal kuantiti yang dimakan.
Hayatilah falsafah kesederhanaan yang ditekankan melalui ibadah puasa dengan tidak makan secara berlebihan sewaktu berbuka. - CARI |