Malang memang tidak berbau. Walaupun kita sudah mengambil langkah berjaga-jaga, ia tetap akan berlaku kalau sudah itu takdirnya.
Betapa cemasnya perasaan ibu bapa apabila anak didukung terjatuh hingga menyebabkan kecederaan serius? Pasti tidak lena tidur malam memikirkannya.
Damiana Jun berkongsi detik cemas itu menerusi laman Facebooknya, DamianaJun Pakar TilamHamdmade. Menurut Damiana, suaminya yang mendukung anaknya, tergelincir ketika menuruni tangga di rumah mereka.
"Muka Afif tersembam pada tiang sebelah tangga dan bucu tangga.
"Bentuk tajam yang di permukaan tiang tertusuk tepat pada bahagian tulang hidung Afif dan mnyebabkan luka berlubang agak dalam, kira-kira setengah inci," tulisnya.
Doktor di Hospital Kuala Berang terpaksa merujuk Afif ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) utk rawatan lanjut memandangkan kecederaannya agak parah.
Difahamkan, kanak-kanak itu terpaksa menjalani pembedahan kecil bagi membetulkan tulang hidungnya.
Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan Damiana beberapa kali mengingatkan kepada orang ramai supaya berhati-hati ketika mendukung anak kecil kerana kemalangan boleh berlaku di mana-mana.
"Sekarang ni kalau tengok suami dukung anak pun, rasa seriau seram sejuk," katanya yang masih trauma.
Rata-rata warga Facebook bersimpati dengan nasib keluarga itu selain mendoakan agar Afif segera sembuh.
Dalam masa sama, ada yang menegaskan supaya warganet tidak meletakkan kesalahan seratus peratus di bahu ibu bapa kerana kemalangan berlaku tanpa diduga.
Kredit foto: FB/FB Damiana
Jadi, berhati-hatilah semua. Mana-mana yang tapak kasut atau seliparnya sudah 'haus', bolehlah digantikan dengan yang baru, okey? - CARI |