Limau kasturi, buahnya kecil sahaja tapi mengandungi pelbagai khasiat dan mengandungi vitamin C. Ia juga digunakan secara meluas di Asia Tenggara dalam masakan mahupun minuman.
Namun, bagi penggemar minuman atau makanan yang menggunakan buah berkenaan seperti air limau, sirap limau, teh-O limau, mee rebus, laksa johor dan sebagainya, anda perlu berhati-hati kerana kulit limau kasturi itu mungkin ada debu, bakteria, kulat, atau racun serangga.
Jika bahan-bahan ini mencemari minuman mahupun makanan anda, ia akan menjejaskan kesihatan. Perkongsian ini telah diciap menerusi Twitter, Dr Kamarul Ariffin atau lebih dikenali sebagai Dr Chaku.
Selain daripada menulis kisah seram di laman sosial, Dr Kamarul tidak lokek berkongsi ilmu kesihatan dengan netizen.
Dr Kamarul juga meminta netizen memaklumkan kepada pelayan di kedai makan atau restoran supaya mencuci terlebih dahulu limau tersebut sebelum menggunakannya dalam minuman atau masakan.
Sekiranya membuat makanan atau minuman di rumah, aspek kebersihan limau tersebut perlu diberi keutamaan.
Menurut Dr Kamarul lagi, konsep penjagaan kebersihan ini samalah seperti kita mahu kulit telur dibasuh terlebih dahulu sebelum merebus atau memecahkannya. Kita tidak mahu kekotoran pada kulit telur mencemari makanan.
Netizen memberi pelbagai maklum balas mengenai perkongsian tersebut. Ada yang bertanya soalan dan turut memberikan pendapat mereka malah berkongsi cerita mengenai limau kasturi.
Keselamatan makanan bermaksud makanan itu bersih daripada kuman berbahaya, racun, toksin dan bersih daripada najis dan bahan buangan yang lain. Makanan yang tidak bersih boleh mengandungi bahan-bahan berbahaya atau bakteria yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan seperti taun, tifoid, keracunan makanan, hepatitis A dan lain-lain lagi.
Adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri bagi memastikan makanan atau minuman yang masuk ke dalam tbuh kita bersih dan selamat untuk menjamin kesihatan berpanjangan. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda sekeluarga. - CARI
|