Kredit foto: Facebook
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikenakan 36 kompaun dengan nilai keseluruhan RM3.6 juta oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) berikutan aduan bil elektrik yang naik mendadak pada Mei dan Jun 2019.
Memetik laporan BH Online pada 21 Januari, ST mengambil tindakan tersebut pada Disember lalu selepas menyiasat aduan-aduan yang dikemukakan oleh para pengguna.
TNB dikenakan 36 kompaun dengan nilai keseluruhan RM3.6 juta oleh ST. Kredit foto: Facebook
TNB didapati gagal mematuhi arahan suruhanjaya berkenaan mengenai piawaian prestasi Tahap Perkhidmatan Minimum (MSL) berkaitan tempoh penyerahan bil elektrik kepada pengguna.
"Berdasarkan MSL itu juga, TNB perlu memastikan setiap pengguna menerima bil elektrik secara bulanan.
"ST ingin mengingatkan pemegang lesen supaya mematuhi peruntukan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), peraturan-peraturan dan syarat-syarat bagi memastikan kepentingan pengguna dilindungi," jelas suruhanjaya itu.
Pada Mei dan Jun tahun lalu, ramai pelanggan TNB di seluruh negara berang apabila mendapati caj penggunaan elektrik dalam bil mereka melambung tinggi berbanding bulan-bulan sebelumnya.
Contohnya, seorang pelanggan domestik yang kebiasaannya dikenakan caj kira-kira RM800 sebulan tiba-tiba mendapati bil yang diterimanya mencatatkan jumlah RM2,600.
Aduan pelanggan melalui TNB Careline pada Mei 2019. Kredit foto: Facebook
Pelanggan mempersoalkan kenaikan caj penggunaan elektrik yang mendadak pada Mei 2019. Kredit foto: Facebook
TNB Careline ketika menjawab aduan pelanggan dalam laman Facebook menjelaskan, kenaikan bil itu berlaku kerana bacaan meter penggunaan elektrik yang direkodkan adalah melebihi 30 hari dan caj dikira secara prorata.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin pernah menyatakan, ST boleh mengheret TNB ke mahkamah sebagai jalan terakhir sekiranya syarikat itu tidak memberi layanan yang adil kepada pelanggan-pelanggan yang terlibat.
Diharap kompaun yang dikenakan oleh ST itu menjadi pengajaran kepada TNB agar masalah yang sama tidak lagi berulang. - CARI |