Tingkah Laku Kanak-kanak - Pembentukan Rutin
Tiada peranan yang lebih mulia selain menjadi ibu bapa. Kita mempunyai kira-kira 9 bulan (atau ada yang kurang dari itu!) untuk membuat persediaan mental dan mempelajari segala yang termampu untuk memberikan yang terbaik kepada insan paling berharga yang dianugerahkan kepada kita. Walau sebaik mana pun kita merancang, segalanya seakan tidak menjadi ketika berhadapan dengan situasi sebenar apabila yang ditunggu akhirnya tiba. Seorang kawan saya pernah berkata, “Kehidupan saya tidak akan berubah dengan kehadiran bayi ini,” namun sangkaan beliau meleset sama sekali. Cahaya mata lelaki beliau telah mengubah kehidupannya menjadi lebih bermakna dari sudut yang tidak pernah beliau bayangkan! Walau bagaimanapun, apa yang beliau katakan itu ada benarnya, iaitu dari aspek pembentukan rutin.
Terdapat pelbagai perkara di luar jangkaan yang dialami oleh ibu bapa, tanpa mengira sama ada anda baru menimang cahaya mata pertama atau yang ke sepuluh! Setiap anak memiliki keperibadian mereka sendiri (percayalah, saya telah menimang lima orang cahaya mata!) dan walaupun mengenali diri setiap daripada mereka merupakan suatu penerokaan yang mengujakan, namun, kita juga boleh mula merancang demi masa depan dengan memperkenalkan rutin-rutin yang bersesuaian untuk semua. Rutin adalah suatu cara yang baik bagi membantu anak-anak anda belajar untuk menjangka perkara yang bakal berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Ia membentuk suasana yang selamat dan memberi kepastian dalam kehidupan seharian di mana banyak lagi perkara baharu lain yang bakal mereka lihat, dengar dan pelajari. Dengan adanya rutin, kanak-kanak berpeluang untuk berasa selamat, disayangi dan yakin untuk menerokai dunia mereka.
|