CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3378|Reply: 2

Punca Bayi Selalu Muntah Selepas Menyusu & Tips Mengatasinya

[Copy link]
Post time 4-2-2021 07:52 PM | Show all posts |Read mode
Punca Bayi Selalu Muntah Selepas Menyusu & Tips Mengatasinya



“Aik, baru kejap menyusu dah muntah balik. Kenapa asyik jadi macam ni je? Perut masuk angin ke? Atau baby tak sihat?”

Bayi selalu muntah dalam proses menyesuaikan diri kepada penyusuan badan pada minggu-minggu awal kelahiran. Selain itu, ia juga berkait rapat dengan tabiat penyusuan, situasi sekeliling, atau perkembangan kesihatan bayi secara umum.

9 PUNCA BAYI SELALU MUNTAH SELEPAS MENYUSU
Berikut adalah antara sebab bayi selalu muntah selepas menyusu dan cara mengatasinya.

1. JELUAK
Menurut Dr Rashdan Zaki bin Mohamed menerusi DoktorBudak.com, kebiasaanya, masalah susu yang diminum dan diluah semula (posseting /spitting up / jeluak / reflux) ini bukan masalah serius, bersifat sementara dan akan pulih sendiri dengan sedikit masa.

Masalah ini adalah disebabkan oleh otot esofagus yang sepatutnya berfungsi sebagai ‘pintu’ untuk menghalang kandungan isi perut dari ‘naik ke atas’ semula belum matang dan berfungsi sepenuhnya. Tambah beliau, hampir 50% hingga 60% bayi berusia lingkungan 3 bulan akan mengalami gejala ini. Ia dijangka akan apabila bayi berusia 1 – 2 tahun, tanpa memberi kesan besar terhadap kesihatan bayi tersebut. Maksudnya, anda tak perlu risau kerana bayi akan tetap membesar secara normal dan mempunyai tahap tumbesaran yang sihat.



2. POSISI MENYUSU KURANG SELESA
Bayi yang belum biasa mungkin mengalami sedikit kesukaran untuk menyusu sambil berbaring. Maka, usahakan memposisikan kepala bayi secara menegak (upright position) semasa menyusu. Sendawakan bayi setiap kali selepas menyusu.

Selain posisi penyusuan, lekapan yang salah pada puting payudara mendorong bayi menghisap terlalu banyak udara bersama susu ibu. Seperkara lagi, jangan menggilirkan payudara ketika bayi masih aktif menghisap kerana tindakan ini juga boleh menyebabkan bayi menyusu dalam keadaan tidak tenang. Habiskan penyusuan di satu payudara dan tunggu bayi melepaskan payudara sendiri.



3. ALIRAN SUSU TERLALU LAJU
Kadangkala, aliran susu badan juga terlalu laju sama ada semasa let down reflex atau kerana susu terlalu penuh. Untuk mengatasinya, perahkan susu sedikit sebelum menyusu bayi. Pastikan anda mengikut jadual dan jangan biarkan susu terlalu banyak hingga payudara terasa berat dan bengkak.

Bagi bayi yang menyusu menggunakan botol susu, periksa saiz puting sebelum membeli dan pastikan ia sesuai dengan umur bayi. Gantikan puting selepas 3 bulan sekiranya perlu. Sterilkan alatan penyusuan dengan cara yang betul.

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 4-2-2021 07:53 PM | Show all posts
4. MINUM TERLALU BANYAK
Menyusu terlalu banyak dapat membuat perut bayi terlalu penuh, sehingga menjadi punca bayi selalu muntah selepas menyusu.

Biasakan bayi menyusu sedikit demi sedikit, namun lebih kerap.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-2-2021 07:54 PM | Show all posts
5. TERLAMPAU AKTIF SELEPAS MENYUSU
Amalan mengurut bayi dengan cara yang betul dapat membantu bayi lebih tenang, mengurangkan risiko refluks, kembung perut, serta melancarkan penghadaman. Tapi, elakkan menekan perut bayi selepas menyusu.

Selain itu, jangan menggoyang-goyangkan bayi atau menimang bayi sebaik selepas menyusu. Biarkan bayi bertenang seketika sebelum bergerak aktif.



6. ALAHAN
Cuba kenalpasti makanan yang dimakan oleh ibu sehingga menyebabkan bayi mendapat alahan perut dan memuntahkan semula susu yang diminum. Antara makanan yang biasa menjadi punca alahan bayi adalah susu lembu dan kafein.

Di samping itu, cuba elakkan bayi daripada terdedah kepada asap rokok kerana ia juga mungkin salah satu punca bayi selalu muntah.



7. BATUK & BERKAHAK
Demam, batuk, atau kahak yang banyak menyebabkan tekak bayi tidak selesa hingga menjadi punca bayi selalu muntah.

Lazimnya muntah ini mengandungi lendir atau kahak tersebut. Dapatkan pemeriksaan doktor jika batuk dan kahak berterusan sehingga mengganggu penyusuan.



8. GORD (GASTROOESOPHAGEAL REFLUX DISEASE)
Sesetengah masalah refluks dan muntah boleh menyebabkan masalah yang lebih serius dikenali sebagai GORD (GastroOesophageal Reflux Disease).

Gejala GORD yang biasa dikenalpasti termasuk jeluak susu, batuk selepas minum susu, berat badan tidak naik, tidak mahu menyusu, nampak kurang selesa untuk menyusu, badan bengkok ke belakang (arching of back). Terdapat juga gejala lain yang tidak spesifik seperti sakit perut dan meragam.

Jika bayi selalu muntah dan disyaki mengalami gejala ini, pastikan anda mendapatkan nasihat pakar untuk membantu mengatasinya.



9. JANGKITAN LAIN
Bayi juga berkemungkinan untuk muntah disebabkan beberapa punca lain seperti jangkitan tekak, tonsil, jangkitan telinga atau masalah lain yang lebih terpencil seperti kencing kotor.

Oral thrush atau lidah putih pada bayi juga boleh menyebabkan ketidakselesaan pada bayi untuk menyusu dengan baik. Oleh itu, pastikan lidah dan mulut bayi dibersihkan dengan kerap dari semasa ke semasa.


BILA PATUT RISAU?
Sungguhpun muntah adalah normal bagi kebanyakan bayi, jangan teragak-agak berjumpa doktor sekiranya muntah bayi anda diiringi dengan tanda-tanda ini:
  • abdomen bayi membengkak
  • tanda kekejangan
  • muntah berterusan yang teruk atau muntah berterusan selama lebih 24 jam
  • munculnya tanda dehidrasi seperti mulut yang kering, kurang air mata, ubun-ubun mengecut dan kurang kencing (menggunakan kurang daripada enam lampin sehari).
  • muntah yang memancut, terutama pada kanak-kanak berumur kurang 1 bulan
  • diiringi dengan demam tinggi, melebihi 38 darjah
  • muntah yang mengandungi darah
  • muntah cecair berwarna hijau
  • muntah selepas berlaku kecederaan kepada kepala
  • nampak bingung, mengantuk, lesu, dan tidak aktif
  • kembung perut, perut lebih buncit daripada biasa
  • sukar untuk makan / minum
  • meragam yang teruk
Kesimpulannya, bayi selalu muntah sama ada selepas menyusu atau pada bila-bila masa tidaklah merbahaya melainkan ia memperlihatkan kesan-kesan yang disebutkan di atas. Dapatkan pemeriksaan lanjut dan nasihat pakar paediatrik untuk mengatasinya dengan tepat.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-11-2024 09:34 PM GMT+8 , Processed in 0.420760 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list