|
Penghormatan terakhir DMX, disiar di YouTube
UPACARA penghormatan terakhir buat DMX di YouTube.
New York: Upacara memperingati penyanyi rap DMX, 50, yang meninggal dunia pada 9 April lalu disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube rasminya pada jam 6 pagi, hari ini.
Meskipun diadakan secara tertutup, ribuan peminat ikon rap itu membanjiri jalan di Brooklyn serta Barclays Center, di sini untuk berkabung dan memberi penghormatan terakhir buatnya.
Tidak ketinggalan, satu lagi siaran langsung upacara pengebumiannya bertempat di sebuah gereja, di sini, bakal ditayangkan pada jam 2.30 pagi esok.
Dalam upacara itu, rakan artis termasuk Kanye West antara yang membuat persembahan sewaktu upacara peringatan terbabit.
Penyanyi yang juga calon Anugerah Grammy itu pernah mencetuskan fenomena menerusi lagu hitnya termasuk X Gon' Give It to Ya dan Party Up (Up in Here). DMX menjadi artis pertama memiliki lima album nombor satu dalam carta Billboard.
DMX atau nama sebenarnya Earl Simmons meninggal dunia akibat serangan jantung, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital White Plains, di sini, di sisi keluarga tercinta.
Menurut peguamnya, Murray Richman, keadaan penyanyi itu agak membimbangkan sehingga terpaksa bergantung kepada sistem sokongan pernafasan.
Richman bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada DMX terkena serangan jantung kesan daripada pengambilan dadah berlebihan seperti didakwa sebuah laman web.
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|