|
Fizz terima hadiah Hari Bapa
Oleh Zaidi Mohamad - Jun 20, 2021 @ 5:25pm
[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2021-06-20_at_4.54.08_PM_1624181124.jpg)
Fizz mendirikan rumah tangga dengan dengan Almy pada 26 April 2014. Foto IG Fizz Fairuz
KUALA LUMPUR: Tiada berita lebih menggembirakan pada Hari Bapa apabila pelakon, Datuk Fizz Fairuz mendapat perkhabaran isterinya, Datin Almy Nadia hamil anak keempat.
Fizz berkongsi berita gembira itu melalui entri pada akaun Instagram (IG).
Memaparkan foto dua alat ujian kehamilan dan ucapan anak-anak, hantaran itu pantas menarik perhatian pengikut yang gembira dengan rezeki dikurniakan kepada pasangan itu.
Fizz memberitahu foto dua alat ujian kehamilan itu bukanlah bermakna mereka bakal dikurniakan anak kembar.
"Almy membuat ujian kehamilan sebanyak dua kali menggunakan alat berbeza.
"Alhamdulillah, rezeki untuk saya, isteri dan anak-anak. Isteri saya sudah 15 minggu hamil. Ada yang cakap ini rezeki anak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)... Macam-macam lagilah.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2021-06-20_at_4.53.53_PM_1624181128.jpg)
Fizz, Almy dan anak-anak. Foto IG Fizz Fairuz
"Saya terima rezeki ini dengan lapang dada. Semoga segala-galanya dipermudahkan untuk isteri saya," katanya.
Tambah Fizz, andai ada rezeki, dia teringin mendapat zuriat lelaki.
"Namun, biar apa pun, semuanya ketentuan-Nya. Kalau boleh memanglah hendak anak lelaki sebab sekarang semuanya heroin.
"Tetapi biar apa pun jantinanya, kami terima dengan hati terbuka," katanya.
Fizz mendirikan rumah tangga dengan Almy pada 26 April 2014. |
|