Dua individu layak digelar wira selepas menyelamatkan seorang pekerja taman hidupan liar Scales and Tales yang diserang buaya ketika melakukan demonstrasi, Sabtu lalu.
Kejadian berlaku di West Valley City, Utah itu ketika pekerja berkenaan, Lindsay Bull melakukan demonstrasi, lapor Daily Star.
Donnie Wiseman menjerit meminta bantuan selepas melihat buaya menggigit tangan wanita itu dan menyeretnya ke dalam air.
Kredit foto: Theresa Wiseman
Dia melompat ke dalam kandang buaya terbabit dan pekerja berkenaan memberitahu kepadanya bagaimana untuk 'berurusan' dengan reptilia itu.
Ketika itu buaya berkenaan sedang menggigit lengannya dengan rahang yang tajam.
Seorang lagi pengunjung, Todd Christopher turut membantu Donnie untuk menyelamatkan pekerja itu.
Isteri Todd, Amy Christopher turut memberikan pertolongan cemas sebelum pasukan kecemasan tiba di tempat kejadian.
Pengendali buaya itu dibawa ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan baik dan dalam proses pemulihan.
Pengurusan taman berkenaan memuat naik mesej terima kasih di laman Facebook mereka Ahad lalu.
"Kami ingin berterima kasih kepada mereka yang menjadi wira. Ini adalah risiko yang dihadapi kakitangan kami yang mengendalikan haiwan.
"Semalam (Sabtu lalu), keadaan yang tidak kita inginkan berlaku. Salah seorang pengendali buaya kami digigit buaya besar,.
"Mereka (Donnie, Amy dan Todd) membahayakan diri dan menyelamatkan keadaan" katanya.
Sumber: Harian Metro |