Butterworth: Remaja bersama 11 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyertai perarakan kematian sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada 13 Oktober lalu.
Tertuduh, R Kumar, 39; G Rukumaran, 33; M Kanes Kumaar, 28; A Elango, 35; A Veera Putthiran, 19; S Muniswaran, 30, dan S Rishantheren, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.
Bagaimanapun, lima lagi tertuduh, D Stephen Dass, 35; M Sivasangar, 49; K Harjun, 18; Mazlan Hassan Sha, 35, dan remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah dalam pertuduhan yang dibacakan bersama dan minta dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melanggar arahan Ketua Pengarah Kesihatan dengan cara menjalankan perarakan kematian bagi tujuan keagamaan di dalam kawasan tempatan jangkitan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Besar Kerian Kedah, Sungai Jawi di Seberang Perai Selatan pada 13 Oktober lalu, pada 2 petang.
Kesemua mereka didakwa mengikut Peraturan 9, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No3) 2021 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 17(1) peraturan yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman, manakala tujuh yang mengaku bersalah diwakili peguam, Anbananthan Yathiraju dan selebihnya tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Aisyah memohon kepada mahkamah supaya menetapkan hukuman denda RM15,000 terhadap tertuduh yang mengaku bersalah.
Menurutnya, hukuman yang setimpal perlu diambil dengan mengambil kira kepayahan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menurunkan jangkitan kes, selain memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Tujuh tertuduh merayu hukuman denda dikurangkan memandangkan mereka adalah dari keluarga kurang berkemampuan dan ada yang kehilangan pekerjaan termasuk mempunyai tanggungan yang ramai.
Norhayati kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,500 terhadap tujuh tertuduh dan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Hakim juga membenarkan tertuduh yang mengaku tidak bersalah diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin.
Remaja berusia 17 tahun diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan syarat hanya boleh dijamin oleh ibu atau bapanya sahaja.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.