[size=0.8]Oleh Noorazura Abdul Rahman - November 3, 2021 @ 10:15am[email protected]
SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) disenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia dalam senarai dikeluarkan 'Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2022' yang diumumkan semalam.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof Dr Haim Hilman Abdullah, berkata UUM kini berada di tangga ke-98 senarai itu berbanding 107 pada tahun lalu.
Katanya, ia pencapaian terbaik universiti itu, sekali gus membuktikan perancangan Pelan Strategik UUM yang mula dilaksana pada 2011 berada pada landasan betul.
"Lonjakan demi lonjakan secara konsisten yang ditunjukkan setiap tahun adalah usaha bersama yang patut dibanggakan setiap warga universiti memandangkan sukar untuk mendapat tempat dalam senarai universiti terbaik dunia, apatah lagi di Asia kerana ia membabitkan reputasi sesebuah universiti.
"Kita berjaya tersenarai dalam 100 universiti terbaik Asia berdasarkan peningkatan dalam reputasi dari sudut akademik dan reputasi majikan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Haim Hilman berkata, UUM akan terus memperkukuhkan jenamanya bukan sekadar di peringkat nasional, malah antarabangsa agar kepercayaan dan keyakinan terhadap reputasi universiti itu terus meningkat.
"Pencapaian ini turut dibantu elemen atau asas yang dirangka dalam pelan strategik berkaitan kualiti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan membangun mahasiswa secara holistik.
"Di samping itu, kualiti kurikulum yang dirangka juga mendapat kepercayaan ahli akademik luar yang impaknya dapat dilihat melalui jumlah akreditasi diterima, sekali gus menunjukkan kualiti kurikulum UUM antara yang terbaik dan terjamin," katanya.