|
Lain Betul Kedai Kopi Di Melaka, ‘Kopi Jail’ Ajak Kamu Lepak Dalam Penjara
Boring juga kalau asyik-asyik pergi ke kafe hipster dan estetik saja kan? Kali ini apa kata kamu kunjungi kafe yang berkonsepkan penjara, ala-ala dalam sel tahanan penjara di Melaka. Unik dan menggerunkan tau!
Psst… Kafe ini bukannya diusahakan oleh banduan tetapi dua saudara; Anas Al-Afiq dan Nur Aimi Irfan Nor Azian yang mahu bawa kelainan buat peminat kopi.
Diberi nama Kopi Jail, kafe yang berhampiran dengan Muzium Penjara Malaysia ini menawarkan suasana yang sama seperti di dalam penjara. Sambil mengopi, bolehlah kamu rasai sendiri bagaimana suasana penjara sebenarnya.
Apa yang membuatkan tertarik dengan kafe ini adalah setiap kopi yang ditawarkan diberi nama berdasarkan hukuman. Antaranya adalah Kopi Gantung, Kopi Reman, Kopi Sebatan, Kopi Sepanjang Hayat, Kopi Seumur Hidup dan Kopi Jail.
Selain daripada konsep penjara yang unik dan kopi, Kopi Jail turut menyajikan pilihan pastri, menu tempatan dan juga Barat.
Dan sementara menunggu kopi, Kopi Jail turut memberi peluang untuk pengunjung menconteng dinding di ruangan ‘Bilik Menunggu’. Ruangan ini diwujudkan adalah untuk memberitahu pengunjung bahawa ia adalah lokasi terakhir banduan ditempatkan sebelum mereka ke tali gantung.
Jadi setiap coretan banduan di lokasi (dalam penjara sebenar) itu merupakan coretan terakhir mereka.
Untuk pengetahuan kamu, Kopi Jail juga dijadikan sebagai tempat untuk mempromosikan dan menjual hasil kraftangan yang dihasilkan secara terus oleh banduan penjara serta penghuni Sekolah Henry Gurney.
Menarik dan lain daripada yang lain! Jadi hujung minggu ini jangan lupa untuk singgah ke Kopi Jail, Melaka okay?
Lokasi: Galeri Muzium Penjara Melaka Jalan parameswara kampung bandar hilir, Bandar Hilir, 75000, Melaka
Waktu Operasi: Selasa-Khamis (9pagi-7petang) | Jumaat-Ahad (9pagi-9malam) | Isnin (Cuti)
|
|