Impian penyanyi Aliff Aziz melangkah ke peringkat separuh akhir All Star Gegar Vaganza (GV10) terkubur selepas diumumkan tersingkir pada konsert suku akhir malam ini.
Mendendangkan lagu Cindai dan Gambus Jodoh, Aliff meraih markah terendah pada konsert yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam.
“Saya sangat berbesar hati diberi peluang bertanding selama 10 minggu.
"Terima kasih kepada semua yang memberi kata-kata positif dan semangat selama ini,” katanya selepas diumumkan tersingkir.
Terdahulu, Ketua juri All Stars Gegar Vaganza (GV10), Datuk Ramli MS menyifatkan persembahan Aliff Aziz pada konsert suku akhir hari ini tidak berjaya mencapai tahap yang memberansangkan.
Menurut Ramli, emosi dan jiwa Melayu yang seharusnya disampaikan menerusi persembahan dua lagu irama Malaysia iaitu Cindai dan Gambus Jodoh juga tidak berjaya.
“Terlalu banyak ‘error’, mood lagu pertama seharusnya gembira tetapi banyak melodi tidak sampai, begitu juga untuk lagu Cindai," kata Ramli.
Sementara itu, kedudukan teratas menjadi milik penyanyi Naqiu yang juga juara GV musim keenam selepas meraih markah tertinggi daripada tiga juri tetap.
Tempat kedua pada konsert minggu ini pula menjadi milik penyanyi Hady Mirza manakala juara musim kesembilan, Jaclyn Victor pula berada di tangga ketiga.
Penyingkiran tersebut sekali gus menyaksikan Naqiu, Liza Hanim, Hady Mirza, Azharina dan Jaclyn Victor berjaya mara ke peringkat separuh akhir minggu depan.
Sementara, Siti Nordiana dan Tomok turut berjaya ke peringkat seterusnya.
Sumber: HibGlam
l
|