Kuala Nerang: "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ramai yang menghubungi saya dan datang ke rumah untuk menyalurkan sumbangan selepas kisah saya disiarkan dalam akhbar ini, semalam," kata Wan Fahimah Wan Mohamad Othman, 27.
Kisah penuntut tahun akhir jurusan
Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz Al Quran dan Qiraat di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UNiSHAMs) itu yang terpaksa menangguhkan pengajian akibat tiada wang untuk membiayai kos rawatan kanser payu dara tahap tiga yang dihidapinya sejak Januari lalu, mendapat perhatian ramai yang hendak membantunya.
Wan Fahimah berkata, dia lega apabila menerima sumbangan berjumlah hampir RM10,000 melalui akaun bank miliknya daripada pembaca akhbar ini yang bersimpati dengan nasib yang menimpanya.
Katanya, selain itu, wakil dari Pejabat Menteri Besar Kedah, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan penghulu kampung itu turut datang ke rumahnya untuk menziarahinya semalam selain menyampaikan sumbangan mereka.
"Saya juga berterima kasih kepada Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang turut membantu saya menyalurkan sumbangan wang tunai RM1,200 semalam.
"Semua wang ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk menampung kos rawatan saya di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani selain kos untuk menyambung semula pengajian di UNiSHAMs pada September ini selepas tertangguh enam bulan sebelum ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepala Batas, Mukim Pedu, di sini hari ini.
Wan Fahimah berkata, dia tidak malu kerana pernah bekerja sebagai tukang cuci di tandas awam Pantai Merdeka, Sungai Petani hanya kerana untuk mendapatkan wang bagi membiayai kos rawatan kanser yang dihidapinya itu.
Katanya, wang hasil pekerjaan itulah digunakan sepenuhnya untuk membiayai kos pembedahan membuang sel kanser di payu dara kanannya pada 16 Julai lalu, selain rawatan kemoterapi sebanyak enam pusingan.
"Dengan duit hasil bekerja itulah juga saya gunakan untuk membayar sewa rumah di Kuala Ketil dan kos ulang alik menunggang motosikal dari rumah ke tempat kerja dan hospital.
"Saya lakukan sendiri kerana tidak mahu susahkan ibu, Rodziah Safie, 49, dan ayah, Wan Mohamad Othman Ismail, 56, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan selain mempunyai enam beradik lain yang masih bersekolah," katanya.
Menurutnya, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk membeli kereta bagi memudahkan dia berulang alik ke hospital tetapi terpaksa melupakan impian itu kerana tidak mampu dan menggunakan motosikal sepenuhnya.
Katanya, dia akan menyambung rawatan 15 kali rawatan radioterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada bulan ini dan berharap semuanya berjalan lancar.
"Saya akan ke HSAH pada Ahad ini untuk mengambil laporan perubatan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) sebelum berjumpa doktor pakar di HPP untuk mendapatkan tarikh memulakan rawatan radioterapi," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, penuntut tahun akhir kursus Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz Al Quran dan Qiraat, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UNiSHAMs) Kuala Ketil terpaksa menangguhkan pengajian untuk bekerja sebagai tukang cuci bagi menampung kos rawatan kanser payu dara yang dihidapinya.
Wan Fahimah Wan Mohamad, 27, bekerja sebagai tukang cuci di tandas awam Pantai Merdeka untuk mencari sumber kewangan bagi merawat kanser tahap tiga yang ditanggungnya itu.