Edited by sfhzuraz at 8-8-2024 12:13 PM
Ugut nak bakar rumah ibu, jurujual didenda RM3,000
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Ogos 8, 2024 @ 11:35am [email protected]

Kelvin dikenakan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya bulan lalu. - Foto NSTP/MIKAIL ONG
GEORGETOWN: Seorang jurujual didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya bulan lalu.
Kelvin Gun Soon Ming, 44, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Siti Nurul Suhaila Baharin.
Tertuduh turut berdepan hukuman penjara lapan bulan jika gagal bayar denda.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Teo Siow Lian, 69, dengan menyatakan dia akan membakar rumah jika warga emas itu tidak memberinya wang sehingga mendatangkan kegentaran dan ketakutan kepada mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Bandar Baru Ayer Itam, kira-kira jam 10.30 malam pada 9 Julai lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang masih bujang meminta RM5,000 kepada ibunya untuk membeli kereta, namun mangsa tidak memberikan wang itu.
Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, Yiew De Xien memohon hukuman denda minimum dengan alasan ia adalah kesalahan pertama dilakukan anak guamnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira hubungan mangsa dengan tertuduh sebagai ibu dan anak kandung supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/08/1281992/ugut-nak-bakar-rumah-ibu-jurujual-didenda-rm3000
|