Lating Minggang
KAPIT:Majlis Daerah Kapit (MDK) menegaskan komitmennya untuk menangani isu pembakaran terbuka yang kerap berlaku di kawasan perumahan, termasuk berhampiran sekolah, yang menjejaskan kesihatan penduduk setempat serta pelajar.
Pengerusi MDK, Lating Minggang, berkata pihaknya memandang serius setiap aduan mengenai perkara itu dan telah mengambil langkah segera untuk menyiasat setiap kes yang dilaporkan.
"Kami sentiasa peka terhadap isu pencemaran udara dan pembakaran terbuka yang memberi kesan kepada kualiti hidup penduduk, terutama sekali di sekitar sekolah.
“MDK akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Bomba untuk memastikan tindakan segera diambil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau diminta mengulas aduan orang awam mengenai pembakaran terbuka yang dilakukan oleh penduduk berhampiran sebuah sekolah menengah di sini, terutama pada sebelah petang.
Asap tebal yang terhasil daripada pembakaran tersebut telah menyebabkan rasa tidak selesa dalam kalangan pelajar serta guru dan kakitangan sekolah berkenaan.
Menurut Lating, sehingga kini pihaknya telah mengambil tindakan berbentuk nasihat kerana kebanyakan insiden melibatkan pembakaran kecil dan terpencil.
Namun, MDK tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas jika masalah ini berterusan atau melibatkan pembakaran berskala besar.
Tambahnya, MDK juga akan mempergiatkan usaha meningkatkan kesedaran awam melalui program 'Outreach' yang menekankan pendidikan mengenai kesan buruk pembakaran terbuka terhadap alam sekitar dan kesihatan.
"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha MDK untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (MPL), khususnya yang berkaitan dengan kesihatan dan tindakan iklim. Pendidikan adalah kunci utama dalam mengatasi masalah ini," jelas Lating.
Sebagai langkah jangka panjang, MDK juga merancang untuk melaksanakan program kesedaran di sekolah-sekolah dengan kerjasama agensi kerajaan bagi mendidik pelajar tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan mengelakkan pembakaran terbuka.
Lating turut menyeru masyarakat agar bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan Kapit kekal sebagai kawasan yang bersih, sihat, dan selamat untuk didiami.
|