Ding bersama dengan wakil agensi kerajaan yang berkaitan menghadiri Mesyuarat Kelulusan Projek Khas RTP Kerajaan Sarawak untuk pembinaan Pusat Hemodialisis Sungai Tulai, Bintangor pada Khamis.
BINTANGOR: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3.7 juta untuk membina sebuah pusat hemodialisis di Sungai Tulai, di sini.
hli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kerja-kerja pembinaan pusat terbabit akan dimulakan dalam masa terdekat. “Lakaran bangunan Pusat Hemodialisis Sungai Tulai ini telah siap dan ia merupakan bangunan setingkat.
“Dengan kemudahan ini nanti, kita berharap ia dapat meningkatkan aspek penjagaan rawatan kesihatan masyarakat di kawasan ini.
“Kita juga berharap kewujudan pusat ini nanti akan mengurangkan kesesakan orang ramai berkumpul di hospital kerajaan untuk menunggu giliran yang panjang bagi mendapatkan rawatan dialisis,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media sejurus selesai menghadiri Mesyuarat Kelulusan Projek Khas RTP Kerajaan Sarawak untuk pembinaan Pusat Hemodialisis Sungai Tulai di sini pada Khamis.
Hadir sama Timbalan Residen Sarikei Badjuri Bidin, DE JKR Bahagian Sarikei Ir Kenendy Kedo dan Penolong Jurutera MDMJ Ngu Mei Ping.
Ding berharap kerja-kerja pembinaan pusat itu nanti berjalan lancar dan dilaksanakan mengikut standard yang telah ditetapkan.
“Kewujudan pusat ini juga akan memberikan manfaat kepada warga berdekatan seperti dari daerah Pakan, Julau, Sarikei, Tanjung Manis dan Sibu.
“Ini kerana pusat ini berada di tengah-tengah kawasan tersebut.
“Terima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana telah meluluskan dana untuk pembinaan pusat hemodialisis ini,” jelas Ding lagi.
|