CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3735|Reply: 0

[Sarawak] Pendidikan STEM amat penting untuk masa depan ekonomi Sarawak

[Copy link]
Post time 10-9-2024 03:05 PM | Show all posts |Read mode


Lee menunjukkan tandatangannya pada plak untuk logo STEM yang dicipta khas, sebagai simbolik perasmian majlis sambil disaksikan oleh Fredick (tiga kanan) serta yang lain.

MIRI: Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) amat penting pada masa ini dan akan datang kerana ia merupakan penggerak kepada ekonomi baharu, menghasilkan pencipta, inovator dan penyelesai masalah.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ini berdasarkan kepada ekonomi Sarawak yang berlandaskan inisiatif ekonomi hijau yang menumpukan kepada usaha menangani perubahan iklim seperti tenaga boleh diperbaharui, ekopelancongan, pertanian mampan dan sebagainya.

"Justeru, adalah sangat penting untuk kita mempersiapkan para pelajar dengan pengetahuan yang berkaitan dalam bidang ini supaya mereka bersedia untuk alam pekerjaan yang mungkin memerlukan pakar-pakar dalam bidang ekonomi hijau pada masa depan.

"Bidang kerja yang akan wujud pada masa akan datang adalah berasaskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

"Dalam mencapai status sebuah negara maju, peluang pekerjaan berasaskan STI juga akan bertambah dan memerlukan kepakaran yang perlu dibina dan dipupuk dari awal. Oleh itu, kita perlu mengutamakan pendidikan STEM," ujarnya.

Beliau memberitahu demikian semasa merasmikan pelancaran STEM Playground Miri di Pustaka Negeri Sarawak, Miri hari ini.

Lee berkata, generasi muda khususnya para pelajar perlu menguasai bidang STEM bagi melahirkan modal insan yang mahir dalam bidang teknologi yang menjadi teras dalam Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

"Dunia kini berhadapan dengan IR 4.0 di mana bidang teknologi semakin canggih dan memerlukan golongan yang berpengetahuan tinggi dan berkeupayaan bagi menghadapi cabaran zaman sekarang yang semakin hari semakin kompleks.

"Dunia dan pasaran terkini memerlukan generasi muda yang berdaya tahan dan bukan saja menjadi pengguna teknologi, malah memulakan atau mencetuskan teknologi.

"Sekiranya kita tidak berjaya menguasai bidang STEM, kita akan tetap ketinggalan dalam arus modenisasi global yang kian berkembang setiap tahun," tambah beliau.

Lee berkata, pembangunan modal insan untuk memenuhi keperluan dan pekerjaan masa hadapan termasuk pekerjaan yang belum wujud pada masa sekarang perlu dirancang.

Untuk mencapai hasrat ini katanya, para pelajar di peringkat sekolah perlu menguasai bidang teknologi untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

"Sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) STEM yang menarik mampu meningkatkan minat dan kecenderungan para murid dalam bidang ini.

"Pelajar-pelajar yang mengikuti PdPc STEM akan mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), inovatif, celik teknologi, mereka cipta, boleh menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

"Usaha memperkasa budaya STEM dalam kalangan generasi muda mesti dimanfaatkan sepenuhnya. Pemikiran bahawa STEM ini susah perlu ditangkis bagi mengelakkan mereka terus menjauhi bidang ini," katanya.

Sehubungan itu, Lee mengucap tahniah kepada Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan rakan-rakan penganjur yang lain atas komitmen mereka dalam merancang dan melaksanakan program STEM itu.

STEM Playground ialah program anjuran Kerajaan Sarawak melalui TEGAS Community Innovative Learning (TCIL), di mana ia merupakan satu pameran yang menonjolkan kreativiti dan inovasi yang mesra keluarga yang diadakan secara percuma.

Sementara itu, STEM Playground yang berlangsung selama dua hari ini menampilkan pelbagai aktiviti STEM yang interaktif dengan tujuan untuk mencetuskan minat dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah dalam bidang STEM.

Turut hadir ialah Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak Miri Razak Rambili, Ketua Inovasi dan Keusahawanan SDEC Hazwan Razak serta Pengurus Kanan TEGAS TCIL Fredick Kevin Buseli.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 12:43 PM GMT+8 , Processed in 0.043511 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list