Kereta dipandu mangsa rosak teruk pada bahagian belakang yang turut mengakibatkan mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital semalam.
MIRI: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 898, Jalan Pan Borneo di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan melibatkan dua kenderaan itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang.
“Hasil siasatan polis mendapati kereta dipandu mangsa berusia 68 tahun yang dipandu dari arah Bekenu telah mengubah haluan ke sebelah kanan.
“Ini menyebabkan sebuah 4WD dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Alexson berkata, kesan kemalangan tersebut mengakibatkan kereta mengalami kerosakan teruk pada bahagian belakang manakala 4WD mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.
“Pemandu kereta disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital dan pemandu 4WD tidak mengalami kecederaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
|