Rezeki tidak diundang selepas banjir
Oleh Aizat Sharif - Oktober 11, 2024 @ 5:42pm [email protected]
Sebahagian penduduk sekitar Kubang Gajah berpesta menangguk dan menjala ikan berikutan peningkatan paras air Sungai Gial, Arau sejak beberapa hari lalu. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
KANGAR: Bencana banjir yang melanda Perlis tidak hanya merosakkan harta benda penduduk di negeri itu namun turut membawa rezeki tidak diundang kepada masyarakat khususnya 'kaki pancing' yang gemar memancing ikan darat.
Tidak hanya bertumpu di kawasan sungai semata-mata, orang ramai yang dilihat begitu menikmati situasi yang berlaku ini turut berpusu-pusu mencari kawasan dari parit, tali air serta sawah bendang.
Aktiviti yang dikenali sebagai mengail ikan ini sememangnya rutin kepada pemancing ikan di negeri ini setiap kali musim penanaman padi bermula dan apabila berlakunya musim hujan, maka 'kaki pancing' ini akan bersiap sedia dengan joran masing-masing sambil mencari kawasan yang sesuai untuk mengail.
Tinjauan di sekitar Kangar dan Arau mendapati 'kaki pancing' yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia membawa pelbagi jenis joran mahupun jala untuk merasai pengalaman memancing ikan darat sehinggakan ia diibaratkan sebagai pesta.
Seorang pemancing, Mohamad Farhan Kadir, 39 berkata, setiap kali selepas berlaku banjir, dia bersama rakannya akan mencari lokasi yang sesuai untuk memancing ikan darat ini.
Antara jenis ikan yang diperolehi adalah seperti ikan sepat dan lampam. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
"Adakalanya kami akan pergi ke sawah bendang dan yang pastinya tali air di sebelah bendang akan menjadi tempat tumpuan kami kerana banyak ikan darat seperti sepat, puyu, kaloi.
"Bila banjir lagilah seronok kerana aliran air akan membawa ikan darat ini melimpah masuk ke dalam bendang atau parit dan disebabkan aliran air itu laju jadi memudahkan lagi kita hendak memancing," katanya.
Isterinya, Juwairiyah Mokhtar, 38, berkata, lazimnya ikan yang ditangkap ini akan dijual sama ada secara kecil-kecilan di pasar atau untuk dijadikan santapan keluarga.
"Ikan darat ini jika dimakan pun sedap seperti ikan sepat atau ikan puyu ditambah lagi ada nasi panas, kicap dan sambal belacan, memang menyelerakan ada yang buat sebagai pekasam ikan darat ini.
"Jadi memang tidak dinafikan adakalanya banjir yang berlaku sudah menjadi seperti pesta kerana ramai orang, tidak kira sama ada kanak-kanak atau nenek tua sekalipun akan 'turun' bawa pancing untuk mengail ikan," katanya.
Bagi seorang lagi 'kaki pancing', Isa Halim, 63, lazimnya selepas banjir, agak mudah untuk mengail ikan kerana tidak sampai 10 minit saja, ikan yang dicari sudah makan umpan.
"Apatah lagi jika memancing di kawasan lubuk ikan darat macam parit besar atau sawah padi kerana adakalanya tidak sampai lima hingga 10 minit, sudah dapat ikan dan diikuti ikan seterusnya.
"Macam saya sendiri, pernah juga dapat dalam lima hingga 10 ekor ikan sepat dan puyu tetapi bergantung juga pada keadaan tempat pada masa itu," katanya.
Namun, Isa menegaskan aspek keselamatan menjadi keutamaan.
Isnin lalu, hujan berterusan lebih lima jam di sekitar Kangar dan Arau menyebabkan beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan situasi banjir termenung pada keesokan harinya yang memaksa penduduk di beberapa kawasan terpaksa dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di beberapa buah sekolah akibat kediaman mereka dinaiki air.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1309589/rezeki-tidak-diundang-selepas-banjir
|