"Antara barangan disita adalah kerusi, meja plastik dan peralatan lain yang diletakkan di pesiar kaki dan laluan awam.
Kuala Lumpur: Sembilan kes sitaan dan pindah halangan barang perniagaan penjaja yang mengganggu laluan awam dilaksana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar ibu negara.
DBKL berkata, operasi oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Bukit Bintang membabitkan Jalan Tun Sambanthan, Jalan Thambipillay, Jalan Sultan Abdul Samad, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Azlan Shah (berhampiran Monorail Chow Kit).
"Sebanyak sembilan kes sitaan dan pindah halangan dilakukan oleh DBKL mengikut Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit Bangunan 1974.
"Semua barangan dan peralatan berkenaan dihantar ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di Facebook (FB), di sini, hari ini.
Kenyataan itu berkata, tindakan itu diambil sebagai maklum balas kepada aduan awam yang diterima dan untuk memastikan kawasan awam sentiasa teratur sekali gus selamat.
"DBKL menggesa semua peniaga dan penjaja supaya mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan. Kami akan meneruskan tindakan dan pemantauan semasa ke semasa demi kesejahteraan warga kota, pengunjung dan pelancong.
HarianMetro
|