Pekerja bot maut, tukang rumah cedera motosikal bergesel
Oleh Hamzah Osman - Disember 30, 2024 @ 3:05pm[email protected]

Motosikal yang dinaiki Muhammad Zulhairi Suid, tercampak ke tengah jalan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Ayer Hangat, Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman.
LANGKAWI: Seorang pekerja bot maut apabila motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah motosikal lain ketika cuba memotong dalam kejadian di Jalan Ayer Hangat di sini, malam tadi.
Dalam nahas 9.15 malam itu, mangsa, Muhammad Zulhairi Suid, 25, dari Kampung Sungai Itau, Mukim Ayer Hangat dilaporkan mati di tempat kejadian, manakala Zakaria Ibrahim, 58, juga tukang rumah cedera di dahi dan tangan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan dua motosikal dalam perjalanan arah sama dari Kuah menghala ke Ayer Hangat.
"Lelaki pekerja bot berusia 25 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR cuba memotong sebuah motosikal lain ditunggang tukang rumah berusia 58 tahun dalam arah laluan yang sama sebelum bergesel.
"Susulan kemalangan itu, pekerja bot tercampak ke tengah jalan, manakala tukang rumah bersama motosikal jenis Honda ANF100 terbabas ke bahu jalan sebelah kiri," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Shariman berkata, mangsa Muhammad Zulhairi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Zakaria yang mengalami luka di dahi dan tangan kiri dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk rawatan lanjut.
"Siasatan juga mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus dua hala, jalan rata, berturap dan kering.
"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/12/1342776/pekerja-bot-maut-tukang-rumah-cedera-motosikal-bergesel
|