![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250203/kch-ub030225-at-sfc-p1.jpg)
Kakitangan SFC memantau kehadiran buaya di kawasan terjejas banjir di Bintulu. - Gambar Facebook Sarawak Forestry Corporation
KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) turut membantu mangsa banjir di negeri ini selain memantau kehadiran buaya.
SFC menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini, berkata di Bintulu, pasukannya aktif menyertai Ops Banjir dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian yang dipengerusikan Pejabat Residen.
Katanya meskipun tugas SFC tertumpu kepada pemantauan hidupan liar khususnya buaya bagi memastikan keselamatan awam semasa musim banjir, anggota SFC turut terlibat dalam aktiviti pengagihan bantuan makanan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Tatau dan Sebauh.
“Walaupun menghadapi cabaran akibat banjir baru-baru ini yang telah menjejaskan kira-kira 29 kakitangan dari Bintulu, pasukan SFC tetap komited dalam usaha membantu misi bantuan.
“Warga SFC yang tidak terjejas secara langsung menunjukkan dedikasi yang tinggi dengan membantu kerja-kerja pembersihan rumah yang terkesan.
“Komitmen teguh warga SFC dalam berkhidmat kepada masyarakat serta menyokong kakitangan sendiri dalam waktu krisis, melambangkan semangat perpaduan dan keprihatinan,” katanya.
SFC merupakan penjaga taman negara dan hidupan liar di seluruh Sarawak.
Sementara itu di Miri, anggota SWAT SFC Miri turut menghulur bantuan kepada mangsa banjir selain memantau dan mengawasi kehadiran buaya.
Bantuan ini diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.
|