![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250204/kks-ub040225-ysh-christina1.jpg)
CHRISTINA
KOTA KINABALU: Para pelancong yang datang ke destinasi pelancongan di Sabah diberikan jaminan selamat dalam suasana kondusif
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, jaminan berkenaan termasuklah ke tapak pelancongan di sini seperti Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
"Kita dalam KePKAS akan memberikan komitmen ini agar pengunjung menikmati pengalaman yang selamat dan menyenangkan.
"Kementerian juga menggesa semua pihak berkepentingan bekerjasama dalam menjadikan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sebagai tarikan pelancongan yang mesra dan terurus dengan baik.
“Kami mengambil serius isu pengurusan pelancongan di Masjid Bandaraya dan sedang berusaha aktif dengan pihak berkepentingan untuk menangani kebimbangan terkini.
"Adalah penting agar semua penyedia perkhidmatan, termasuk pengendali pengangkutan dan pemandu pelancong mengekalkan standard tinggi, terutamanya dari segi keselamatan, pengalaman pengunjung dan kebersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas isu membabitkan pelancong dihalang untuk mengambil gambar di sekitar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini baru-baru ini.
Christina berkata, KePKAS kekal komited untuk memupuk kerjasama antara industri pelancongan dan pihak berkuasa tempatan bagi mengekalkan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Katanya, Lembaga Pelancongan Sabah (STB), melalui Jawatankuasa Sokongan Industri (ISC), telah mengadakan mesyuarat dengan Pasukan Pengurusan Pelancongan Masjid Bandaraya pada 28 Januari lepas untuk membincangkan perkara itu.
"Mesyuarat itu membincangkan isu-isu utama seperti kebimbangan terhadap Pelancong Bebas (FIT) yang tiba menggunakan perkhidmatan e-hailing dan mengambil gambar di lokasi yang tidak selamat.
"Keperluan untuk meningkatkan langkah keselamatan, termasuk pemasangan tanda amaran di kawasan utama dan mengkaji semula serta mengemas kini Prosedur Operasi Standard (SOP) di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu untuk memastikan garis panduan yang jelas kepada semua pengunjung dan pihak berkepentingan," katanya.
Dalam pada itu, Christina berkata, KePKAS melalui STB akan melaksanakan beberapa langkah proaktif yang dicadangkan, termasuk penglibatan Pihak Berkepentingan dan SOP yang dikemas kini untuk meningkatkan pengurusan pengunjung di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
"Sehubungan itu, sesi libat urus akan diadakan bulan ini, melibatkan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, pengendali pelancongan, pemandu pelancong berlesen, pembekal perkhidmatan e-hailing dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
"Semasa sesi ini, kami akan memberi taklimat kepada pihak berkepentingan mengenai SOP yang dikemas kini dan mengumpul maklum balas untuk memperhalusi strategi pengurusan pengunjung," katanya.
Sementara itu, Christina berkata, bagi pengurusan pengangkutan yang lebih baik, STB akan bekerjasama dengan pembekal perkhidmatan e-hailing untuk memastikan protokol turun dan naik penumpang yang betul di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
"Cadangan untuk zon turun khas bagi bas pelancongan akan dibincangkan dengan JKR untuk meningkatkan aliran trafik dan keselesaan pengunjung," katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa yang berkenaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengangkutan haram, seperti van yang tidak berlesen, untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan pelancongan.
"Dua langkah proaktif lain yang dicadangkan ialah pakaian seragam untuk kakitangan, serta latihan dan penambahbaikan infrastruktur di mana Masjid Bandaraya Kota Kinabalu akan mengadakan latihan perkhidmatan pelanggan dan komunikasi untuk kakitangan barisan hadapan bagi meningkatkan interaksi dengan pengunjung.
"Rancangan sedang dijalankan untuk membina tandas awam khas untuk pelancong. Semua kakitangan barisan hadapan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dikehendaki memakai pakaian seragam yang betul untuk memastikan mereka mudah dikenali dan diakses oleh pengunjung," katanya.
|