
SIBU: Tindakan pihak berkuasa tempatan di Miri yang menyita durian daripada petani kecil dan penduduk kampung menimbulkan persoalan serius mengenai kesesuaian pendekatan penguatkuasaan terhadap aktiviti ekonomi bermusim, khususnya dalam konteks sosioekonomi luar bandar di Sarawak.
Pengerusi merangkap Ketua Lembaga Pengarah Koperasi Usahawan Bumiputera Bintulu Berhad Jocky Jim @ Nasrullah Ungka (gambar) menegaskan, penjualan durian bukanlah perniagaan bersifat kekal, sebaliknya merupakan aktiviti bermusim yang hanya berlangsung dalam tempoh singkat setiap tahun.
"Sebahagian besar penjual durian terdiri daripada petani kecil, pekebun dan peniaga sambilan yang memanfaatkan musim durian untuk menambah pendapatan isi rumah.
"Meletakkan keperluan permit penuh seperti perniagaan tetap adalah tidak seimbang dan tidak mengambil kira realiti ekonomi kumpulan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa durian merupakan hasil pertanian tempatan yang sah, tidak tergolong dalam kategori barangan kawalan atau berisiko tinggi seperti alkohol, rokok atau bahan berbahaya.
"Keperluan permit yang ketat untuk jualan durian segar jelas tidak relevan dari segi skala operasi dan tempoh jualan yang terhad.
"Pendekatan sebegini bukan sahaja membebankan, malah berpotensi menjejaskan sumber pendapatan bermusim rakyat," ujarnya.
Menurutnya lagi, proses mendapatkan permit lazimnya melibatkan kos, masa dan prosedur birokrasi yang rumit, sekali gus menyukarkan petani kecil serta penduduk kampung yang tidak mempunyai kapasiti kewangan dan pentadbiran seperti peniaga komersial.
"Tindakan menyita hasil jualan bukan sahaja memberi kesan langsung kepada pendapatan rakyat, malah boleh menghakis kepercayaan masyarakat terhadap peranan pihak berkuasa tempatan sebagai pemudah cara pembangunan ekonomi akar umbi," tambahnya lagi.
Beliau turut menarik perhatian kepada amalan di beberapa negara pengeluar durian utama di rantau ini sebagai perbandingan.
Di Thailand, Indonesia dan Vietnam, jelasnya, penjualan durian bermusim oleh petani kecil di tepi jalan atau pasar sementara dibenarkan dengan pengawasan minimum, selagi mematuhi garis panduan asas seperti kebersihan, keselamatan dan tidak mengganggu ketenteraman awam.
Pendekatan ini katanya, diakui membantu meningkatkan pendapatan petani serta menggalakkan ekonomi tempatan tanpa menjejaskan kepentingan awam.
"Negara-negara ini mengiktiraf bahawa ekonomi tidak formal memainkan peranan penting dalam kelangsungan hidup rakyat luar bandar.
"Penguatkuasaan yang terlalu rigid hanya akan melemahkan sektor ini," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan mempertimbangkan pendekatan yang lebih berhemah dan berperikemanusiaan, termasuk pengecualian permit khusus bagi jualan durian bermusim, atau pengenalan mekanisme pendaftaran ringkas tanpa kos tinggi.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa kepentingan awam tetap perlu dipelihara.
"Pihak berkuasa boleh menetapkan garis panduan asas seperti tahap kebersihan, keselamatan awam dan memastikan lokasi jualan tidak menghalang lalu lintas. "Pendekatan ini lebih praktikal, adil dan tidak menekan rakyat," tambahnya.
Beliau berharap pihak berkuasa tempatan di Sarawak dapat menilai semula kaedah penguatkuasaan sedia ada agar selari dengan semangat membantu rakyat, menyokong ekonomi komuniti dan memperkukuh pembangunan ekonomi akar umbi secara inklusif.
Sumber : Utusan Borneo
|