M7: SRG mara ke final tewaskan Aurora
Januari 21, 2026 @ 10:57pm

Selangor Red Giants layak ke final Kejohanan Dunia MLBB M7 di Jakarta hari ini. – Foto Selangor Red Giants Esports
JAKARTA: Selangor Red Giants (SRG) mengesahkan slot ke final Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M7 selepas menewaskan wakil Turkiye, Aurora Gaming 3-2 pada aksi separuh akhir di Stadium Tenis Tertutup Istora Senayan, hari ini.
SRG bermula dengan langkah kiri apabila tewas pada perlawanan pertama sebelum bangkit menyamakan kedudukan hasil aksi cemerlang pada perlawanan kedua.
Aurora kembali mendahului selepas memenangi perlawanan ketiga, namun anak buah Michael Angelo Bocado (Arcadia) sekali lagi mempamerkan kebangkitan mantap untuk mengikat kedudukan 2-2 pada perlawanan keempat sekali gus mengheret perlawanan ke aksi penentuan.
Pada perlawanan kelima, SRG tampil lebih tenang dan tersusun sebelum menutup kemenangan 3-2 bagi mengesahkan kemaraan ke final M7.
"Apa yang ditampilkan Aurora hari ini amat berbeza dan seolah-olah mereka mempunyai 'kad' yang disimpan untuk digunakan ke atas kami.
"Dalam perlawanan yang kami menang, kami dapat membaca corak permainan mereka sejak awal dan segera menyesuaikan diri," kata Arcadia.
SRG akan bertemu sama ada Aurora PH dari Filipina atau Alter Ego dari Indonesia yang akan bertembung pada satu lagi separuh akhir.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik SRG pada Kejohanan Dunia MLBB adalah pada edisi M6 apabila menamatkan saingan di tempat ketiga. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2026/01/1499747/m7-srg-mara-ke-final-tewaskan-aurora
|