Beliau berkata, setakat ini, antara pembabitan perniagaan Waqaf An-Nur termasuk Larkin Sentral Property Berhad, Waqaf An-Nur Gold dan Aspirasi An-Nur.
"Waqaf An-Nur turut berkongsi pelaksanaan aktiviti bersifat inklusif sejak awal penubuhannya yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.
"Sebagai contoh, perkhidmatan kesihatan di Rangkaian Klinik Waqaf An-Nur sudah merekodkan lebih 200,000 rawatan dengan kira-kira 10 peratus penerima terdiri daripada bukan Islam.
"Selain itu, Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn yang dikenali sebagai Masjid Pelancongan turut menempatkan Islamic Information Centre (IIC) yang sentiasa terbuka kepada rakan-rakan bukan Islam untuk lawatan, sesi penerangan dan dialog.
"IIC ini kini sedang melalui proses naik taraf bagi menjadikannya lebih interaktif serta berpotensi sebagai destinasi pelancongan ilmu utama di Johor seterusnya menyokong kempen Tahun Melawat Johor 2026," katanya.
Terdahulu, Bukhari ditemui pada Program Kupi-Kupi Waqaf An-Nur bersama Media yang dianjurkan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuhkan kerjasama strategik antara Waqaf An-Nur dan rakan-rakan media.
Dalam ucapannya, Bukhari merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakan media yang sentiasa memberikan sokongan serta liputan berterusan terhadap aktiviti Waqaf An-Nur, khususnya sepanjang sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan Waqaf An-Nur, tahun lalu.
"Peranan media amat penting dalam memastikan masyarakat memahami konsep wakaf secara menyeluruh dan telus.
"Wakaf bukan sahaja merangkumi sumbangan harta, malah turut membabitkan wakaf tenaga, masa dan kepakaran, di mana liputan dan penulisan media itu sendiri adalah satu bentuk wakaf tenaga yang memberi impak besar kepada institusi wakaf dan masyarakat," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, sepanjang tahun ini, Waqaf An-Nur sudah merancang pelbagai aktiviti utama antaranya Perasmian Masjid Bandar Tiram, program Ramadan Mosque Open Day, pelancaran Blueprint dan Smart Terminal Larkin Sentral selain program-program membela ummah.
Sumber : harian metro